Isu kekosongan jururawat serius, KKM diminta percepat pengambilan

5 Okt 2026, 10:45 AM
Isu kekosongan jururawat serius, KKM diminta percepat pengambilan

SHAH ALAM, 5 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mempercepatkan pengambilan dan penempatan jururawat bagi menangani kadar kekosongan jawatan yang kini mencecah 18 peratus.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU), Noor Aini Abu Hashim berkata semua jawatan yang sudah diluluskan perlu diisi segera bagi memastikan kekurangan tenaga kejururawatan tidak terus menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan, lapor Berita Harian.

"Kita mengalu-alukan usaha SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) mempercepatkan proses pengambilan, termasuk menerusi temu duga terbuka.

"Setakat September lalu, SPA melaporkan lebih 1,000 kekosongan sudah diisi, namun masih terdapat beberapa ratus jawatan yang perlu diisi segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kadar kekosongan jawatan jururawat di negara ini yang kini sekitar 18 peratus.

Menurutnya, usaha mengekalkan jururawat dalam perkhidmatan juga perlu dipertingkatkan kerana pengambilan baharu sahaja tidak mencukupi untuk menangani kekurangan tenaga kejururawatan.

"KKM perlu melihat semula gaji, elaun, insentif syif, elaun kepakaran atau kelayakan pengkhususan dan insentif bagi penempatan di kawasan atau fasiliti yang mempunyai kekurangan jururawat yang kritikal.

"KKM sudah menyatakan bahawa penambahbaikan imbuhan sedang dipertimbangkan bagi membantu menangani persaingan mendapatkan tenaga kerja," katanya.

Selain itu, Noor Aini berkata KKM perlu memperbaiki beban dan persekitaran kerja bagi memastikan jururawat yang masih berkhidmat tidak terus dibebani tugas secara berlebihan.

"Kita perlu memastikan jadual kerja, waktu rehat, cuti dan keperluan tenaga kerja di setiap wad benar-benar mengambil kira jumlah serta kompleksiti pesakit.

"Pembangunan laluan kerjaya jururawat juga hendaklah dipercepatkan. Jururawat perlu mempunyai laluan yang jelas dari peringkat diploma ke ijazah, kepakaran dan kepimpinan.

"Kelayakan dan pengalaman perlu diterjemahkan kepada peluang perkembangan kerjaya yang jelas," katanya.

Noor Aini berkata MNU menyokong usaha meningkatkan pengambilan pelatih, namun kapasiti latihan perlu disertai perancangan penempatan dan perjawatan supaya graduan yang dihasilkan dapat diserap ke dalam sistem secara berkesan.

Beliau berkata kadar kekosongan jawatan jururawat di Malaysia sekitar 18 peratus adalah isu yang sangat serius dan perlu dilihat sebagai isu kelangsungan sistem kesihatan negara, bukan sekadar masalah kekosongan jawatan.

"KKM sebelum ini pernah melaporkan bahawa daripada 73,281 jawatan jururawat Gred U5, sebanyak 10,557 masih kosong pada Ogos lalu. Ini menunjukkan jurang tenaga kerja yang besar.

"Kita perlu ingat bahawa jururawat antara kumpulan tenaga kesihatan terbesar dan paling hampir dengan pesakit. Apabila jumlah tenaga kerja ini tidak mencukupi, beban kerja akan dipindahkan kepada jururawat yang sedia ada.

"Kesannya bukan hanya kepada jururawat, tetapi turut membabitkan masa penjagaan pesakit, keselamatan pesakit, produktiviti, moral kakitangan dan keupayaan fasiliti kesihatan untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti," katanya.

Noor Aini berkata MNU melihat isu kekurangan jururawat sebagai perkara yang memerlukan tindakan segera, berterusan dan berjangka panjang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.