EXCO: MyKOMUTER50 pelengkap subsidi tambang RM30 pengangkutan awam Selangor

11 Okt 2026, 2:00 AM
EXCO: MyKOMUTER50 pelengkap subsidi tambang RM30 pengangkutan awam Selangor
EXCO: MyKOMUTER50 pelengkap subsidi tambang RM30 pengangkutan awam Selangor

SHAH ALAM, 11 OKT: Pengenalan pas bulanan tanpa had MyKOMUTER50 menerusi Belanjawan 2027 melengkapi inisiatif subsidi tambang RM30 Kerajaan Negeri dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Selangor menggunakan pengangkutan awam.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri sebelum ini memperkenalkan Insentif Subsidi Tambang Pengangkutan Awam RM30 bagi pengguna perkhidmatan Transit Responsif Permintaan (DRT) dan KTM Komuter.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif negeri dan Persekutuan itu seiring dengan usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan penduduk Lembah Klang kepada kenderaan persendirian.

“Pengumuman Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen jangka masa panjang Kerajaan MADANI untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian buat warga Lembah Klang termasuk rakyat Negeri Selangor,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu mengumumkan MyKOMUTER50 bagi perkhidmatan KTM Komuter, selain pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer di Kuala Lumpur.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam melalui program Bas Smart Selangor dan pembangunan laluan pejalan kaki.

Menurutnya, usaha berkenaan sedang dirangka menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi memudahkan pergerakan rakyat.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus meningkatkan kemudahan mobiliti bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.