Projek jalan luar bandar diutamakan, peruntukan 2026 naik kepada RM3.1 bilion

29 Okt 2026, 2:18 PM
Projek jalan luar bandar diutamakan, peruntukan 2026 naik kepada RM3.1 bilion

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kerajaan mengutamakan pembiayaan projek Program Jalan Luar Bandar (JALB) dengan peruntukan dinaikkan kepada RM3.1 bilion bagi 2026 berbanding peruntukan asal RM2.11 bilion, demikian menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penambahan peruntukan hampir RM1 bilion itu terdiri daripada kelulusan tambahan RM500 juta kepada kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Notice of Change (NOC) yang telah dibuat terlebih dahulu oleh KKDW sebanyak RM491 juta.

“Kelulusan tambahan itu diberikan bagi memastikan projek JALB dapat diteruskan dan kontraktor dibayar,” katanya ketika menggulung Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027, peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata kelulusan melalui Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan (SKB) diberikan secara berperingkat, iaitu RM300 juta pada 1 Sept, 2026 dan RM200 juta pada 21 Sept, 2026.

"Ini berasingan daripada NOC yang telah dibuat terlebih dahulu oleh KKDW sebanyak RM491 juta," katanya sambil menambah peruntukan itu juga masih belum cukup untuk menyelesaikan komitmen yang dibuat.

Beliau berkata tambahan melalui SKB ini bermakna penjimatan perbelanjaan pembangunan daripada kementerian lain.

Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, KementerianPelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata perbelanjaan sebenar bagi projek JALB tahun 2018 hingga 2022 berjumlah RM3.72 bilion, manakala perbelanjaan sebenar serta peruntukan tahun 2023 hingga 2027 mencecah RM11 bilion.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata permohonan dan kelulusan NOC perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perbelanjaan atau komitmen baharu dibuat, manakala sebarang pengeluaran surat setuju terima (SST) baharu sepatutnya disokong peruntukan yang mencukupi.

"Atas pertimbangan ini, MoF meminta KKDW pada 10 Sept, 2026, supaya menangguhkan pengeluaran SST baharu bagi JALB.

"Maka, adalah tidak benar dakwaan bahawa MoF membatalkan projek. MoF hanya meminta KKDW untuk menangguhkan pengeluaran SST baharu sementara tunggakan sedia ada diselesaikan," tegasnya.

Beliau berkata setiap tambahan kepada JALB melalui pengagihan semula mengurangkan ruang pembiayaan bagi keutamaan lain.

Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2027 menghimpunkan keupayaan kerajaan, institusi pelaburan, syarikat, bank, majikan dan masyarakat mengikut peranan masing-masing yang mana kerjasama itu memperluas kemampuan negara menyediakan pekerjaan, kemudahan dan peluang ekonomi.

"Setiap komponen mempunyai sumber pembiayaan, mandat dan proses kelulusan tersendiri," katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.