Belanjawan 2027: Insentif MYKOMUTER50 beri manfaat 40,000 pengguna, jimat hingga RM160 sebulan

9 Okt 2026, 9:28 AM
Belanjawan 2027: Insentif MYKOMUTER50 beri manfaat 40,000 pengguna, jimat hingga RM160 sebulan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Sebanyak 40,000 pengguna KTM Komuter bakal menerima manfaat dengan pengenalan insentif MYKOMUTER50 bermula tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata melalui kemudahan itu, wang pengguna dapat dijimatkan hingga RM160 sebulan, manakala pas percuma turut akan diberikan kepada 360,000 murid sekolah, komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak bawah enam tahun, manakala kemudahan My50 akan diteruskan bagi pengguna bas dan rel Prasarana di Lembah Klang.

Anwar berkata sebagai penyelesaian jangka panjang bagi masalah kejadian tren rosak atau perkhidmatan tergendala, Prasarana akan melabur lebih RM3.4 bilion untuk pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel milik syarikat berkenaan.

“Kerajaan juga akan memperoleh 42 set tren baharu bagi perkhidmatan ETS dan KTM Komuter,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi pada Disember ini serta Malaysia dan China telah bersepakat untuk menyambung laluan sehingga Rantau Panjang.

“Sebuah stesen bas akan dibina di Stesen ECRL Kota Bharu bagi kegunaan rakyat Kelantan, RM270 juta akan diperuntukkan bagi meningkatkan perkhidmatan bas henti-henti di bandar-bandar utama termasuk menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL,” kata beliau.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Bhd akan menyediakan RM1.1 bilion untuk menambah baik jalan di kawasan pelabuhan, lapangan terbang di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah, Miri di Sarawak dan Pulau Pinang serta STOLport Long Banga dan Ba'Kelalan di Sarawak.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.