SHAH ALAM, 9 OKT: Seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah lampau cedera di kepala selepas terkena tembakan polis dalam kejadian di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, polis melepaskan dua das tembakan ke arah kereta Honda City yang dipandu suspek berusia 28 tahun selepas lelaki itu memandu secara melulu, merempuh kenderaan awam dan enggan berhenti ketika diarahkan, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata suspek kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Suspek memandu kenderaan dalam keadaan berbahaya dan mengancam nyawa orang awam, memaksa polis melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan berkenaan selepas dikejar sejauh satu kilometer.
"Satu daripada tembakan itu terkena bahagian kepala suspek. Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah lampau, selain merupakan individu dikehendaki bagi satu kes dadah di Seri Alam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Menurut Ab Rahaman, rekod lampau suspek merangkumi pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, termasuk Seksyen 15(1), Seksyen 39A dan Seksyen 12(2).
"Bagi rekod jenayah pula, suspek pernah disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun, Seksyen 376 KK (rogol), Seksyen 379 KK (curi), serta Seksyen 379A KK bagi kesalahan mencuri kenderaan," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek menemukan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM6,350.
"Polis menjumpai tujuh paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 373.8 gram bernilai RM2,100 serta 17 katrij vape mengandungi cecair disyaki ketamin seberat 6.8 mililiter bernilai RM4,250.
"Turut ditahan di lokasi kejadian ialah seorang wanita tempatan berusia 29 tahun yang juga penumpang kereta dan dipercayai rakan kepada suspek lelaki.
"Semakan mendapati wanita itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952," katanya.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Ab Rahaman berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah serta Seksyen 15(1) akta sama kerana mengambil dadah," katanya.
Semalam, media melaporkan kejadian tembakan membabitkan anggota polis dan orang awam di Jalan Gertak Merah, berhampiran Zoo Johor, di sini.







