SHAH ALAM, 26 NOV: Seorang lelaki maut selepas ditetak sebanyak 16 kali oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kedai makan di Pekan Lama Kuala Ketil, Baling, Kedah, tengah malam tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata Balai Polis Kuala Ketil menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.15 tengah malam, lapor Berita Harian.
Mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
"Hasil pemeriksaan awal Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati mangsa mengalami kecederaan pada kaki, tangan, lutut serta belakang leher.
"Sebanyak 16 kesan tetakan dikenal pasti, termasuk kecederaan hampir putus akibat ditetak menggunakan parang.
"Siasatan dan risikan awal mendapati kejadian dipercayai bermotifkan dendam serta perebutan kawasan," katanya.
Menurut Adzli, berdasarkan maklumat orang awam, empat lelaki bersenjatakan parang dilihat keluar dari sebuah kereta Proton Persona sebelum mengejar dan menetak mangsa di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Beliau turut menggesa orang ramai membantu polis mencegah dan membanteras kegiatan jenayah dengan menyalurkan maklumat menerusi talian NG MERS 999 atau hadir ke balai polis berhampiran.






