SHAH ALAM, 1 OKT: Polis sudah merakam keterangan sembilan saksi bagi membantu siasatan kes seorang ahli perniagaan yang ditembak di sebuah stesen minyak di Bidor, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya turut selesai mengambil keterangan mangsa yang kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan dan menjalani pembedahan di Hospital Seri Manjung.
Menurutnya, sembilan saksi itu terdiri daripada tiga ahli keluarga mangsa yang berada dalam kenderaan sama ketika kejadian, dua individu dalam sebuah Perodua Alza berhampiran lokasi serta pekerja stesen minyak berkenaan.
"Sembilan saksi sudah dirakam keterangan. Mereka membabitkan tiga ahli keluarga mangsa yang berada dalam kenderaan sama ketika kejadian.
"Selain itu, dua individu yang berada dalam kereta Perodua Alza berhampiran lokasi serta pekerja stesen minyak berkenaan turut dirakam keterangan," katanya dalam sidang media selepas majlis meraikan Pesara dan Bakal Pesara Kontinjen Perak 2026 di Ipoh, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis percaya kejadian itu membabitkan tiga individu termasuk seorang pemandu kenderaan.
"Ada kemungkinan dia (mangsa) diekori. Jika tidak, suspek tidak datang dengan laju.
"Kenderaan suspek memecut dan berhenti di hadapan kereta mangsa sebelum tembakan dilepaskan dari dua sudut, iaitu arah depan dan kanan," katanya.
Mohd Alwi berkata, polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi termasuk tol, namun suspek dipercayai tidak keluar melalui mana-mana tol.
"Polis sudah melihat CCTV di tol dan sebagainya, tetapi apa yang kita dapati mereka tidak keluar dari tol. Jadi, kita masih lagi melihat daripada pelbagai sudut untuk mengenal pasti suspek," katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki cedera di bahu kiri dipercayai ditembak dua individu bersenjata api di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral kira-kira jam 6.08 petang, Selasa lalu.







