SHAH ALAM, 15 SEPT: Perubahan iklim yang semakin tidak menentu dan memberi kesan besar kepada dunia perlu diberi perhatian menyeluruh ketika Malaysia menuju usia 100 tahun pada 2057.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu itu perlu ditangani dalam tempoh 31 tahun akan datang bagi mengurangkan kesan bencana alam seperti banjir di Nepal dan letusan gunung berapi di Indonesia yang turut memberi impak kepada ekonomi dan pelaburan.
“Kena ada kesedaran kolektif mengenai perubahan iklim dan harus tangani bersama-sama. Kena kembali kepada perkara asas, bekalan air mencukupi, pencemaran terkawal. Ini patut jadi usaha utama, dari pisahkan sampah di rumah dan jaga sumber alam.
“Kena kukuhkan alam seiring perkembangan ekonomi kerana ekonomi tak bergantung politik semata tetapi juga alam sekitar. Bagaimana kita pertahankan perpaduan, begitu juga pentingnya kita menjaga alam sekitar,” katanya pada program Bicara Perdana sempena Hari Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Selain tanggungjawab terhadap alam sekitar, Amirudin berkata empat lagi perkara perlu diberi penekanan termasuk pembentukan bangsa yang yakin dan berbelas ihsan serta perhatian terhadap generasi resah, iaitu golongan yang ketinggalan akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, kedudukan Malaysia di pentas dunia dan Abad Asia turut perlu diberi tumpuan supaya tradisi negara sebagai medan penghubung dapat dikekalkan ketika mencapai usia 100 tahun.
“Untuk berada di mata dunia, kita kena berani berubah. Bangsanya kena berubah untuk yakin dengan budaya sendiri. Asia harus lebih menyerlah dan Malaysia perlu menggerakkannya. Saya percaya kalau ada semangat keyakinan ini, kita mampu ketuai ASEAN, mengetuai rantau ini.
“Pentadbiran juga perlu menumpu kepada negara demokrasi dan saksama. Kena tahu erti disiplin, etika dan tanggungjawab. Marilah kita bersama-sama dengan semangat pengetahuan.
“Lima persoalan ini berkait antara satu sama lain. Kita tidak dapat membina ekonomi yang tahan perubahan iklim tanpa institusi yang berkesan. Kita tidak dapat merebut peluang abad Asia tanpa rakyat yang berpendidikan dan yakin,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin menegaskan kerajaan perlu merangka dan menetapkan garis masa serta hala tuju Malaysia menjelang usia 100 tahun pada 2057 bermula sekarang bagi mencapai kesepaduan rakyat selain memastikan negara terus maju.










