KAJANG, 8 OKT: Masalah penyimpanan makanan beku yang sebelum ini membelenggu seorang peniaga makanan Barat di Kajang Utama kini dapat diatasi selepas menerima bantuan peralatan menerusi Inisiatif Blueprint Selangor.
Hairulsharizan Md Kamal yang mengusahakan perniagaan itu sejak empat tahun lalu berkata bantuan peti sejuk, mesin pengisar dan meja membolehkannya menguruskan operasi dengan lebih lancar, selain menjimatkan kos perniagaan.

“Bantuan ini amat membantu kerana sebelum ini saya menghadapi masalah untuk menyimpan makanan beku disebabkan tiada tempat penyimpanan yang sesuai.
“Dengan adanya peralatan ini, urusan perniagaan menjadi lebih mudah dan pada masa sama dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan,” katanya kepada Media Selangor.
Hairulsharizan berkata beliau mengetahui mengenai inisiatif itu menerusi ketua kampung sebelum mengemukakan permohonan mengikut prosedur ditetapkan.

Menurutnya, bantuan berkenaan turut memberi dorongan untuk mengembangkan perniagaan pada masa depan.
“Saya merancang untuk mengembangkan perniagaan dan berharap Kerajaan Negeri dapat meneruskan inisiatif seperti ini supaya lebih ramai peniaga kecil menerima manfaat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata seramai 21 usahawan di Hulu Langat menerima bantuan Blueprint Selangor membabitkan peruntukan keseluruhan RM170,000.
Katanya, 22 lagi usahawan menerima manfaat menerusi Inisiatif Pembangunan Usahawan India Selangor (I-SEED) dengan peruntukan RM104,000.
Beliau yang turut menyantuni tiga penerima bantuan kedua-dua inisiatif itu berharap usaha berkenaan diteruskan bagi membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan serta meningkatkan ekonomi masyarakat.
“ Saya berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan bagi membantu usahawan kecil serta menyokong perkembangan ekonomi masyarakat,” katanya.








