ad

Bantuan Blueprint: Usahawan teruja perniagaan berkembang, raih pendapatan berganda

22 Nov 2025, 9:39 AM
Bantuan Blueprint: Usahawan teruja perniagaan berkembang, raih pendapatan berganda
Bantuan Blueprint: Usahawan teruja perniagaan berkembang, raih pendapatan berganda
Bantuan Blueprint: Usahawan teruja perniagaan berkembang, raih pendapatan berganda

KUALA LANGAT, 22 NOV: Perniagaan popiah sejuk beku milik Muhammad Lukman Nulhakim Abdul Halim, 35, terus berkembang selepas beliau menerima peti sejuk dan peralatan memasak melalui Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan sejak 2022.

Sebelum ini, Lukman hanya meraih pendapatan kurang RM2,000 hasil menolong bapa saudaranya menanam sawit, namun kini mampu menjana pendapatan berganda selepas berniaga sepenuh masa.

Mohammad Lokman Nulhakim Abdul Halim, 35,

“Bantuan ini jadi sumber rezeki saya menanggung keluarga. Saya buat popiah sejuk beku dan simpan dalam peti. Lepas dapat bantuan ini, saya berniaga sepenuh masa.

”Alhamdulillah, pendapatan lebih baik dan taraf hidup meningkat. Saya harap bantuan ini diperluaskan supaya lebih ramai dapat manfaat,” kata Lukman kepada Media Selangor.

Lukman merupakan antara 300 peniaga yang menyertai Karnival Blueprint dan i-Seed #KitaSelangor 2025, yang berlangsung selama dua hari hingga esok di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat.

Seorang lagi penerima bantuan, Mohd Azim Zaini, 30, berkata inisiatif negeri itu membantunya mengembangkan perniagaan kopi hingga mencapai rangkaian lebih luas.

Mohd Azim Zaini, 30,

“Selain bantuan Blueprint, saya turut mendapat bimbingan daripada Platform Selangor (PLATS). Dulu jual air kopi sahaja, sekarang sudah pelbagai produk.

”Kursus pemasaran dan bimbingan media sosial bantu perniagaan saya lebih maju. Lebih membanggakan, usaha ini mendapat perhatian dan saya menerima Anugerah PLATS tahun ini,” katanya.

Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan diperkenal bertujuan meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin.

Karnival Blueprint dan i-Seed yang julung kali dianjurkan menjadi platform untuk peniaga memperluas pasaran dan menjana pendapatan lebih tinggi, selari dengan agenda negeri memperkasa ekonomi usahawan industri kecil sederhana.

Selain pameran usahawan, karnival turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk:

  • pemeriksaan kesihatan percuma

  • pertandingan sukan dan memasak

  • tapak permainan kanak-kanak

  • pameran agensi kerajaan

  • kaunter pengurangan saman trafik

  • tukar minyak pelincir motosikal percuma

Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan artis popular termasuk Ukays dan Keena Mentor malam ini.

Selain itu, karnival akan menobatkan penerima Anugerah Blueprint dan i-Seed #KitaSelangor 2025, sebagai pengiktirafan kepada kejayaan usahawan berdasarkan inovasi produk, pertumbuhan jualan, dan impak komuniti.