ad

Dana meningkat, bantuan beli alatan penjaja diteruskan tahun depan

14 Nov 2025, 10:32 AM
Dana meningkat, bantuan beli alatan penjaja diteruskan tahun depan

SHAH ALAM 14 NOV: Golongan penjaja, peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri akan terus menikmati bantuan peralatan dan mesin menerusi bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif bagi meningkatkan pendapatan isi rumah itu meningkat kepada RM2 juta pada tahun hadapan berbanding RM1.5 juta pada 2025.

Menurutnya, turut dirancang ialah Program Latihan Usahawan kepada penerima bantuan bagi membimbing mereka meningkatkan kemahiran keusahawanan serta memberi pendedahan pasaran lebih luas.

"Melalui usaha ini, penerima bantuan bukan sahaja berpeluang mengembangkan perniagaan, malah dapat meningkatkan tahap daya saing mereka dalam arus ekonomi semasa," katanya.

Sementara itu, katanya, program Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) yang membantu kaum India melalui program keusahawanan diteruskan dengan RM1 juta.

Program I-SEED pada tahun lalu membantu seramai 410 usahawan India menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM2.31 juta.