SHAH ALAM, 7 OKT: Pihak pengurusan sekolah perlu mengenal pasti dan memetakan kawasan berisiko bagi memastikan pengawasan lebih menyeluruh, bukan hanya bergantung kepada kamera litar tertutup (CCTV).
Pakar Kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff berkata pendekatan keselamatan di sekolah perlu merangkumi gabungan pengawasan fizikal, rondaan berkala dan penggunaan teknologi, khususnya di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“CCTV hanya berperanan sebagai alat sokongan bagi menambah baik kekurangan dalam sistem keselamatan sedia ada, namun tidak mampu menggantikan keperluan pengawasan secara fizikal.
“Rondaan juga perlu dipertingkatkan sehingga empat kali sehari dengan penambahan pengawal keselamatan, selain dilakukan pada waktu yang tidak dijangka supaya rutin keselamatan tidak mudah dibaca oleh suspek,” katanya kepada Media Selangor.

Nadiah yang juga Pensyarah Kanan Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM) berkata pihak sekolah perlu mengenal pasti kawasan yang berpotensi menjadi titik buta seperti kelas, tandas, surau dan dewan untuk diberi pengawasan lebih ketat.
Beliau berkata aspek keselamatan bukan hanya tanggungjawab pengawal keselamatan, sebaliknya guru, pelajar dan ibu bapa turut perlu memainkan peranan dalam mengenal pasti serta mencegah risiko.
“Cabaran utama adalah memastikan strategi yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan selain penyelenggaraan sistem keselamatan sedia ada dilakukan secara berterusan untuk jangka panjang.
“Pihak sekolah juga boleh mengemas kini pelan 2D atau 3D kawasan sekolah dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu mengenal pasti susun atur serta kawasan berisiko di sekolah,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pelajar supaya mengelak daripada bersendirian atau berada di kawasan sunyi selepas waktu persekolahan, manakala ibu bapa perlu lebih cakna terhadap keberadaan anak dan mengutamakan komunikasi bersama mereka.
Menurut Nadiah, ibu bapa juga boleh memanfaatkan kemudahan seperti jam digital yang mempunyai fungsi pengesanan lokasi bagi membantu memantau keberadaan anak, khususnya ketika mereka berada di luar rumah atau selepas waktu persekolahan.
Pada 3 Oktober, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira 5.50 petang, 3 Oktober lalu. Susulan itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Selain itu, pada 26 September lalu seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah. Susulan itu dua pelajar senior ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok, mengikut Seksyen 301 Kanun Keseksaan
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan pemasangan CCTV di sekolah dilaksanakan secara berperingkat sebagai usaha memperkukuh keselamatan warga sekolah.
Bagi fasa pertama, KPM memperuntukkan RM3 juta untuk pemasangan CCTV di 200 sekolah berasrama, yang selesai sepenuhnya pada November 2025.
Fasa kedua pula membabitkan peruntukan RM5 juta untuk pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dan disiapkan pada September 2026.
Bagi fasa ketiga, KPM memperuntukkan RM15 juta pada 2027 untuk pemasangan CCTV di 1,000 sekolah di seluruh negara.










