Selangor perkemas pengurusan pelarian Rohingya, perkukuh kerjasama agensi

7 Okt 2026, 5:34 AM
Selangor perkemas pengurusan pelarian Rohingya, perkukuh kerjasama agensi

SHAH ALAM, 7 OKT: Selangor mahu mendapatkan data khusus mengenai jumlah, taburan dan keadaan pelarian serta pemohon suaka di negeri itu bagi memperkemas pengurusan dan pemantauan di lapangan.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad berkata usaha tersebut termasuk pemantauan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta perbincangan dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan UNHCR.

Tegas beliau, langkah tersebut penting susulan jumlah pelarian dan pemohon suaka berdaftar di Malaysia yang mencecah kira-kira 215,600 orang setakat akhir Februari 2026, termasuk lebih 126,000 etnik Rohingya.

“Angka sebesar ini menuntut pengurusan yang lebih tersusun, namun Selangor memerlukan data khusus mengenai jumlah, taburan dan keadaan sebenar mereka di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan akan mengusahakan pemantauan bersama PBT selain mendapatkan ruang perbincangan dengan pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen dan UNHCR bagi meneliti data khusus Selangor serta bentuk kerjasama yang boleh diperkukuhkan.

Saifuddin berkata isu pengurusan pelarian dan pemohon suaka dekat dengan realiti di Selangor, terutama berdasarkan pemerhatiannya sejak beberapa minggu kebelakangan ini di sekitar Batang Kali.

“Daripada pemerhatian di lapangan, saya percaya cabarannya mungkin lebih serius di kawasan berkepadatan tinggi seperti Selayang serta beberapa lokasi lain,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Selangor mahu menyahut usaha yang sedang digerakkan Kerajaan Persekutuan dan akan menangani perkara itu menerusi bidang kuasa serta saluran kerjasama yang tersedia.

Dalam pada itu, Saifuddin menyambut baik penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini bahawa lebih 10,000 warga Myanmar telah dibawa pulang ke negara asal sejak Januari hasil rundingan dengan kerajaan negara berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri turut menyatakan Malaysia adalah negara pertama yang berjaya melaksanakan usaha membawa pulang warga Myanmar ke negara asal mereka.

“Perdana Menteri hari ini turut menjelaskan bahawa belum ada etnik Rohingya yang dihantar pulang setakat ini dan perkara tersebut masih dalam perbincangan, justeru penyelesaian isu Rohingya memerlukan rundingan berterusan, pendekatan kemanusiaan dan kerjasama antara kerajaan serta agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pandangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat semalam turut menggambarkan keresahan dan realiti semasa berkaitan pengurusan pelarian serta pemohon suaka di negara ini.

Saifuddin berkata penggunaan kad UNHCR juga perlu dipastikan tidak disalah guna atau disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan seseorang di sisi undang-undang.

“ Apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan perlu diperjelaskan kepada pemegang kad, majikan, PBT serta agensi penguat kuasa supaya pemantauan lebih berkesan dan sebarang ruang eksploitasi dapat ditutup,” katanya.

Beliau berkata pendekatan Selangor dalam isu itu perlu tegas dan tersusun, namun kekal berperikemanusiaan, manakala penguatkuasaan tidak seharusnya dilaksanakan tanpa pengawasan.

“Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, PBT, UNHCR serta agensi berkaitan untuk memperkemaskan pendataan, pemantauan dan koordinasi di lapangan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.