SHAH ALAM, 12 MAC: Seramai 5,058 ketua isi rumah (KIR) berdaftar dalam sistem eKasih di Selangor berjaya keluar daripada kategori miskin tegar setakat 20 Februari lalu.
Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.
“Kemakmuran sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui pembangunan, tetapi juga sejauh mana kebajikan rakyat yang memerlukan dijaga,” katanya ketika merasmikan Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ikatan Kasih Ramadan 1447H di sini, semalam.
Menurutnya, usaha membantu golongan memerlukan akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada ketua isi rumah dalam kategori miskin agar kehidupan mereka terus diperkasa.

Dalam pada itu, seramai 410 ketua isi rumah berdaftar eKasih di Selangor menerima bantuan tunai RM500 bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri melalui program berkenaan.
Beliau berkata selaras prinsip Malaysia MADANI, Kerajaan Selangor terus menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan rakyat dengan memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan serta perlindungan sosial.
Pada majlis sama, turut disampaikan sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime berjumlah RM100,000 melibatkan 200 pelajar sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Sokongan awal kewangan pendidikan ini diharap dapat membantu melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.








