SHAH ALAM, 9 SEPT: PAS Selangor disaran tidak memadamkan rekod kejayaan dan pelbagai manfaat yang telah dinikmati rakyat semata-mata untuk membina naratif politik serta menjual tawaran Ehsan 2030.
Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, berkata dakwaan Perwakilan PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar bahawa rakyat masih belum merasai manfaat daripada kekayaan negeri adalah dangkal serta bercanggah dengan pelbagai rekod bantuan yang sedang dinikmati rakyat.
Menurutnya, PAS berhak menyatakan bahawa bantuan sedia ada belum mencukupi atau menawarkan dasar yang dianggap lebih baik, namun menggambarkan seolah-olah rakyat langsung tidak menerima manfaat daripada hasil kekayaan Selangor merupakan naratif politik yang mengetepikan fakta.
“Hari ini, Iltizam Selangor Penyayang merangkumi 46 inisiatif melibatkan kebajikan, kesihatan, pendidikan, perumahan, keusahawanan dan sokongan kepada keluarga.
“BINGKAS sahaja menyediakan bantuan RM300 sebulan kepada kira-kira 30,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM103 juta setahun. Sehingga 7 April lalu, seramai 27,619 penerima telah menerima manfaat menerusi program berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, pelbagai lagi bantuan dan inisiatif turut dilaksanakan Kerajaan Negeri, termasuk Skim Air Darul Ehsan, Jelajah Ehsan Rahmah, bantuan kesihatan, baik pulih rumah, bantuan warga emas serta program kebajikan yang disalurkan terus kepada rakyat.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai lebih RM130 juta yang merangkumi bantuan barangan asas, baucar kepada rakyat, subsidi pengangkutan awam, sarapan percuma di sekolah serta bantuan kepada sektor berkaitan.
“Jadi apabila PAS mendakwa rakyat masih belum merasai manfaat kekayaan Selangor, persoalannya mudah. Siapakah yang menerima bantuan BINGKAS setiap bulan? Siapakah yang mendapat manfaat jualan murah, subsidi, bantuan kesihatan, pendidikan dan pelbagai program kebajikan negeri?
“Tidak mungkin semua rekod ini mahu dipadamkan hanya kerana PAS sedang mencari alasan politik untuk menjual Ehsan 2030,” katanya.
Saifuddin berkata Mohamed Sukri berhak menetapkan sasaran PAS untuk memenangi sekurang-kurangnya 36 kerusi Dewan Negeri dan 12 kerusi Parlimen di Selangor kerana ia sebahagian daripada amalan demokrasi.
Namun, beliau menegaskan parti yang mahu menawarkan diri untuk mentadbir negeri paling maju di Malaysia perlu berani mengakui fakta dan rekod sedia ada, bukannya membina persepsi bahawa segala usaha serta pencapaian Kerajaan Negeri selama ini tidak pernah wujud.
“Ehsan 2030 boleh sahaja dijual sebagai tawaran politik PAS, tetapi jangan menjual mimpi masa depan dengan memadamkan rekod kejayaan Selangor hari ini.
“Politik yang matang bukan pertandingan siapa paling pandai mencipta persepsi, sebaliknya siapa yang mampu membuktikan dasar, kemampuan dan rekod kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata Selangor sememangnya mempunyai ruang untuk terus diperbaiki dan Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha memperkukuh setiap iltizam agar selari dengan keperluan semasa rakyat.
Namun, Saifuddin berkata terdapat perbezaan jelas antara kritikan yang bertanggungjawab dengan propaganda politik.
“Kritikan menawarkan penambahbaikan, manakala propaganda memadam fakta demi membina cerita sendiri.
“Rakyat Selangor cukup matang untuk membezakan kedua-duanya,” katanya.







