SHAH ALAM, 18 Jun: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar mempersoalkan pendirian Menteri Besar Johor Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi yang terus menolak kerjasama dengan DAP, sambil membangkitkan isu integriti dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Saifuddin Shafi Muhammad berkata rakyat Johor berhak mengetahui mengapa sebuah parti yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan terus dijadikan sasaran politik sedangkan negara pernah berdepan isu yang lebih besar membabitkan integriti, tadbir urus dan skandal kewangan.
Menurutnya, ukuran kemudaratan kepada rakyat seharusnya dinilai berdasarkan integriti serta kepentingan negara, bukannya semata-mata perbezaan ideologi politik.
“Yang mana lebih dahsyat untuk rakyat Johor, duduk semeja dengan DAP demi kestabilan pentadbiran negeri atau berganding bahu dengan Jho Low dalam skandal berbilion ringgit wang rakyat menerusi 1MDB?” soalnya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Onn Hafiz yang berulang kali menegaskan keengganan bekerjasama dengan DAP, termasuk ketika berucap pada program pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Johor, baru-baru ini.
Saifuddin turut mengingatkan bahawa Onn Hafiz pernah tampil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2019.
Katanya, ketika memberi keterangan, Onn Hafiz mengakui syarikat miliknya, Vital Spire, menerima cek bernilai RM240,000 bagi membiayai operasi portal Malaysian Digest yang ketika itu bertujuan menyebarkan berita alternatif serta mengekang penularan berita palsu.

“Saya hairan mengapa Onn Hafiz memilih untuk terus menyerang DAP sedangkan beliau sendiri pernah berada dekat dengan episod yang dikaitkan dengan salah satu skandal kewangan terbesar negara.
"Cukuplah menyuapkan rakyat dengan retorik politik yang berulang-ulang sedangkan mereka mahu melihat kejujuran, integriti dan kesediaan seseorang pemimpin untuk berdepan dengan rekod masa lalu secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian dan tidak lagi mudah dipengaruhi sentimen politik yang sempit.
Sehubungan itu, Saifuddin menggesa kerajaan negeri Johor memberi tumpuan kepada agenda yang lebih besar termasuk pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan berkualiti dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Sudah sampai masanya rakyat Johor disajikan dengan agenda yang lebih besar seperti pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan berkualiti dan kesejahteraan rakyat yang lebih menyeluruh daripada terus disogok dengan naratif permusuhan politik.
"Jika Onn Hafiz benar-benar mahu bercakap soal mudarat kepada rakyat, maka ukurannya mestilah integriti dan kepentingan negara, bukannya kebencian terhadap sebuah parti politik. Saya kira rakyat Johor sudah cukup matang untuk menilai,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat mampu membezakan antara perbezaan ideologi politik dengan isu yang melibatkan kehilangan wang rakyat serta kesan terhadap reputasi negara di peringkat antarabangsa.
"Sebagai penutup saya ingin ulang soalan saya kepada Menteri Besar Johor, mudarat mentadbir bersama DAP atau lebih mudarat memilih parti yang tampak seperti bersetuju dengan Jho Low yang rompak dan sakau hasil negara?" soalnya.
Pada 12 Jun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan penamaan calon pada 27 Jun dan pengundian awal, 7 Julai.







