KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memperkukuh pemantauan serta tindakan di lapangan bagi menangani risiko kemerosotan kualiti udara, khususnya melibatkan kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah berikutan cuaca panas dan kering yang berterusan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS Azuri Azizah Saedon berkata pihaknya memberikan perhatian khusus terhadap insiden kebakaran di Sarawak, termasuk di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei, yang melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar.
Beliau berkata setakat hari ini 1.3 hektar atau 87 peratus daripada kawasan terjejas di tapak pelupusan berkenaan berjaya dipadamkan, manakala baki 0.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.
“JAS Sarawak akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi kebakaran, termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini berhubung status serta keluasan kawasan terjejas.
“Pemantauan kualiti udara turut dilaksanakan bagi menilai potensi kesan kebakaran terhadap persekitaran setempat, manakala tindakan susulan akan diselaraskan bersama agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain pemantauan keadaan semasa, beliau berkata JAS turut menekankan kerjasama pihak industri untuk mengurangkan pelepasan udara daripada punca utama, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300.
JAS tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang berpunca daripada tindakan manusia, dan tindakan pencegahan, pemeriksaan serta penguatkuasaan tegas akan diteruskan mengikut peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.










