NIBONG TEBAL, 6 OKT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), termasuk memastikan hampir 10,000 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara bersedia untuk diaktifkan mengikut keperluan.
Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata pengaktifan PPS akan dilaksanakan mengikut arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berdasarkan situasi dan keperluan di kawasan terjejas.
“Kita mempunyai hampir 10,000 PPS, tetapi setiap tahun bukan semuanya diaktifkan serentak. Kadang-kadang hanya melibatkan dua, tiga atau empat negeri. Tempat-tempat ini memang sudah bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kampung Angkat MADANI JKM 2026 di Masjid al-Fatah Sungai Setar Besar, Sungai Acheh, di sini hari ini.
Che Murad Sayang berkata JKM turut memastikan aspek logistik termasuk pangkalan hadapan dan depoh simpanan keperluan bencana berada dalam keadaan siap siaga, selain stok bekalan makanan termasuk makanan pek sedia dimakan (retort) diperiksa bagi memastikannya berada dalam keadaan baik dan tidak tamat tempoh.
Bagi kelancaran pengurusan mangsa banjir pula, beliau berkata penduduk turut didedahkan dengan penggunaan aplikasi MyIB JKM menerusi latihan persediaan menghadapi bencana pada peringkat komuniti.
“Melalui sistem MyIB JKM, penduduk kampung boleh mendaftar lebih awal dan apabila berpindah ke PPS, mereka hanya perlu mengimbas maklumat yang telah didaftarkan.
“Langkah ini bukan sahaja memudahkan proses pendaftaran mangsa di PPS, tetapi juga urusan penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya.
Berhubung keanggotaan, Che Murad Sayang berkata tenaga kerja sedia ada mampu mengendalikan situasi banjir mengikut kapasiti JKM, manakala hampir 6,000 sukarelawan di seluruh negara dapat digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku bencana berskala besar bagi membantu pengurusan PPS serta depoh simpanan keperluan bencana.







