GOMBAK, 10 MEI: Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor di Kampung Kemensah, Ulu Klang dilaksanakan bagi memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah melalui pendekatan berasaskan komuniti.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata program itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk penduduk kampung, ketua kampung, tok penghulu, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, penglibatan menyeluruh komuniti penting bagi memastikan mesej kesedaran mengenai bahaya dadah dapat disampaikan secara lebih berkesan.
“Semua pihak bergabung dalam program ini untuk mempromosikan kesedaran serta mendidik penduduk kampung mengenai kesan dan bahaya penyalahgunaan dadah.
“Jika sebelum ini kita hanya berkempen di media sosial dan media arus perdana, tetapi pada jelajah ini AADK membawa pendekatan turun padang.
"Kita berinteraksi secara langsung dengan ibu bapa, penduduk-penduduk kampung untuk mengenal pasti apa masalah berhubung dadah di sini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program itu, hari ini.

Dalam program sama, Ruslin berkata AADK turut melancarkan papan tanda “Kampung Aspirasi Bebas Dadah Gombak” yang menyediakan akses kepada penduduk untuk membuat laporan berkaitan isu dadah menerusi talian hotline dan aplikasi WhatsApp.
Tambahnya, Kampung Kemensah dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran program berkenaan memandangkan Selangor dan daerah Gombak antara kawasan yang merekodkan kes dadah tertinggi di negara ini.
“Namun, keadaan masih berada dalam terkawal hasil kerjasama berterusan pelbagai agensi dan komuniti setempat,” ujarnya.
Antara pengisian lain termasuk promosi perkhidmatan pakej rawatan secara sukarela, Jelajah Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT), pameran bas bergerak AADK, jualan Madani serta booth aduan penagihan dadah.









