SABAK BERNAM, 6 OKT: Hampir 8,000 guru pendidikan Islam di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berpotensi menjadi jaringan dakwah lebih luas di negeri ini menerusi pendekatan yang lebih kontemporari dan dekat dengan masyarakat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peranan guru berkenaan tidak terhad kepada bilik darjah, malah sebahagiannya turut mengajar di masjid serta terbabit dalam aktiviti dakwah komuniti.
“Guru ini adalah sebahagian daripada pendakwah yang jumlahnya sangat besar, secara keseluruhannya kita ada sekitar 7,000 atau hampir 8,000 guru di bawah JAIS. Fungsi mereka sangat besar, bukan sahaja dalam waktu persekolahan.
“Malah, sebahagian daripada mereka juga merupakan pemegang tauliah untuk mengajar di masjid serta menyampaikan kuliah dan ceramah kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penutupan Program Ijtimak Perdana Guru Pendidikan Islam Peringkat Selangor dan Peluncuran Program Dakwah Negara 2026 di Dewan Seri Bernam di sini hari ini.
Amirudin berkata jaringan besar itu perlu diperkasa dengan pemahaman terhadap isu semasa termasuk perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) supaya pendekatan dakwah kekal relevan dengan perubahan masyarakat.
Selain itu, katanya, guru boleh dibekalkan kepakaran dalam bidang yang dekat dengan keperluan harian masyarakat seperti muamalat, zakat dan pembahagian harta.
Beliau berkata pendekatan dakwah juga perlu diperluas melangkaui masjid dan sekolah supaya lebih dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Bukan hanya di masjid, di sekolah, di luar sekolah, di padang bola dan di banyak tempat lagi. Itu yang dikatakan uslub dan jalan dakwah yang sebenar atau yang lebih pelbagai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) boleh diperkukuh menerusi perkongsian kepakaran dan penganjuran program secara berkala.
Katanya, usaha itu berpotensi diperluas ke peringkat daerah bagi melibatkan lebih ramai guru yang berperanan sebagai pendakwah dalam komuniti.
“Pendekatan ini tidak semestinya memerlukan modul yang terlalu ketat, sebaliknya memberi penekanan kepada kemahiran dan kefahaman yang membolehkan guru menyampaikan dakwah secara lebih berkesan mengikut keadaan dan keperluan masyarakat,” katanya.










