Dakwah Orang Asli perlu bermula dengan program kecil, dekati keperluan komuniti

21 Okt 2026, 7:52 AM
Dakwah Orang Asli perlu bermula dengan program kecil, dekati keperluan komuniti

SHAH ALAM, 21 OKT: Pendekatan dakwah Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu dimulakan menerusi program berskala kecil yang memenuhi keperluan komuniti setempat bagi memastikan usaha berkenaan lebih berkesan dan berterusan.

Daie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nazrul Kamal berkata pendekatan itu perlu disertai usaha menyantuni Tok Batin dan masyarakat Orang Asli secara mesra, berhikmah serta penuh keprihatinan.

Menurutnya, dakwah bukan sekadar menyampaikan ilmu agama, sebaliknya turut berperanan membina kefahaman, memperkukuh akidah dan meningkatkan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.

“Usaha ini memerlukan tindakan berterusan serta pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Perkara itu antara yang dibincangkan pada Kongres Tok Batin Negeri Selangor 2026 anjuran JAIS dengan kerjasama Universiti Islam Selangor (UIS), yang menghimpunkan 170 peserta terdiri daripada Tok Batin seluruh Selangor, Daie JAIS dan Daie Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Antara peserta yang menghadiri Kongres Tok Batin Negeri Selangor 2026 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Universiti Islam Selangor (UIS) di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 18 Oktober 2026. Foto Facebook Jabatan Agama Islam Selangor - Rasmi

Kongres yang berlangsung di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 18 Oktober lalu itu turut menyediakan ruang dialog mengenai pendekatan dakwah, isu semasa serta aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli.

Dalam pada itu, Tok Batin Othman Abdullah menekankan kepentingan kerjasama antara agensi bagi memastikan generasi muda Orang Asli mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

Beliau berkata sokongan berterusan diperlukan untuk membuka lebih banyak peluang kepada golongan itu menimba ilmu, mengembangkan potensi diri dan meningkatkan taraf hidup komuniti.

“Usaha tersebut dilihat mampu melahirkan generasi Orang Asli yang berpendidikan, berdaya saing serta berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” katanya.

Kongres itu diharap dapat memperkukuh kerjasama antara agensi agama, pendakwah dan kepimpinan masyarakat Orang Asli bagi memastikan usaha dakwah, kebajikan serta pembangunan pendidikan dilaksanakan secara lebih tersusun dan berterusan.

Peserta Kongres Tok Batin Negeri Selangor 2026 bergambar bersama selepas program di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 18 Oktober 2026. Kongres itu menghimpunkan kepimpinan masyarakat Orang Asli, pendakwah dan agensi berkaitan bagi memperkukuh kerjasama dalam usaha dakwah serta pembangunan komuniti. Foto Facebook Jabatan Agama Islam Selangor - Rasmi

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.