SHAH ALAM, 6 OKT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan trend rakyat Malaysia menyewakan motosikal kepada warga asing pada kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan, khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata kegiatan itu bukan sahaja membabitkan motosikal biasa, malah penyewaan motosikal roda tiga kepada warga asing turut menunjukkan peningkatan, terutama di negeri Pantai Timur.
Menurutnya, keadaan itu membimbangkan apabila sebahagian motosikal berkenaan digunakan membawa muatan berlebihan sehingga boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.
“Kita mengenal pasti trend baharu membabitkan rakyat Malaysia menyewakan motosikal kepada warga asing dengan kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan, bergantung jenis dan keadaan motosikal.
“Sebahagian motosikal ini digunakan untuk membawa muatan sehingga menghalang penglihatan kenderaan lain dan boleh menyebabkan kemalangan.
“Motosikal roda tiga paling banyak dikesan di Pantai Timur dan biasanya digunakan untuk mengutip bahan terbuang atau bahan yang boleh dikitar semula, dengan kebanyakannya dikendalikan komuniti Rohingya,” katanya seperti dilapor BH.
Muhammad Kifli berkata tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan bukan sahaja terhadap warga asing yang menggunakan kenderaan berkenaan, malah pemilik kenderaan tempatan sekiranya terdapat kesalahan.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan kesalahan berulang, selain memastikan pemilik tidak menyewakan kenderaan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira tujuan penggunaannya.
Dalam pada itu, katanya, JPJ turut mengesan terdapat pemilik yang menyewakan lebih 100 motosikal kepada warga asing, dengan setiap unit dilaporkan mampu menjana kira-kira RM100 sebulan.
“Kita menganggap pemilik seperti ini sebagai pihak yang bersubahat dengan pemandu warga asing dan tindakan boleh diambil terhadap mereka mengikut Seksyen 26(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata JPJ mengambil pendekatan lebih tegas sejak Julai lalu, termasuk membawa pemandu warga asing dan pemilik kenderaan ke mahkamah berbanding menawarkan kompaun bagi kesalahan berkenaan.







