Kerajaan terus perkukuh keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah

6 Okt 2026, 4:43 AM
Kerajaan terus perkukuh keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan terus memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah menerusi pemantauan asrama, audit keselamatan, peningkatan penyeliaan serta khidmat kaunseling kesihatan mental.

Perdana menteri berkata usaha itu turut meliputi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta kerjasama Kementerian Pendidikan, pihak polis dan ibu bapa menerusi pasukan petugas khas reformasi keselamatan institusi.

“Itu semua telah dilakukan. Apakah mencukupi? Saya fikir belum,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata keselamatan di sekolah memerlukan penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pengetua atau guru besar serta jabatan pendidikan.

Menurutnya, meskipun CCTV dipasang, kemudahan itu tidak dapat meliputi seluruh kawasan sekolah dan dalam kes terbaharu, kejadian berlaku di lokasi yang tidak dirakam kamera.

Beliau berkata polis telah mengambil tindakan tegas berhubung kes berkenaan, manakala proses pendakwaan kini menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara.

“Apa jua pun alasan, tindakan harus cepat dan tegas,” katanya.

Anwar turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap kebajikan anak-anak serta menekankan peranan keluarga, guru dan pihak sekolah dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat.

Katanya, usaha keselamatan perlu disokong dengan pendidikan agama dan akhlak serta latihan guru bagi menangani isu buli, penderaan dan masalah berkaitan kesejahteraan murid.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.