AGENDA

Petugas Astro Awani maut motosikal terbabas di Lebuhraya MEX

14 Okt 2024, 11:08 AM
Petugas Astro Awani maut motosikal terbabas di Lebuhraya MEX

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Seorang petugas Astro Awani maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 8.5 Lebuhraya Maju Ekspres (MEX) dekat sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata Ahmad Hafiz Azhar, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera di kepala.

Beliau berkata polis mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 7.46 pagi, dan kejadian dipercayai berlaku semasa Allahyarham sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Kejadian dipercayai berlaku disebabkan jalan yang licin semasa hujan lebat, mengakibatkan dia terjatuh dan terkena tiang penghadang besi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jenazah editor video di organisasi media itu telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM) untuk dibedah siasat, dan dijangka akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan hari ini.

Ahmad Hafiz Azhar atau lebih dikenali sebagai Randy dalam kalangan rakan media, meninggalkan isteri Nur Farrah Hanna Ibrahim, 35, dan dua anak lelaki masing-masing berusia sembilan bulan dan lima tahun.

Nur Farrah Hanna merupakan petugas Bahagian Pentadbiran dan Fasiliti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Allahyarham juga pernah berkhidmat di Bernama sebelum berpindah ke Astro Awani.

Tinjauan di Unit Forensik HUKM mendapati puluhan rakan Allahyarham termasuk dari Bernama dan Astro Awani hadir.

-BERNAMA