SHAH ALAM, 23 APRIL: Seorang pegawai tentera ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 5.38 pagi membabitkan dua kenderaan, iaitu Perodua Alza dan Ford Fiesta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Ford Fiesta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun yang juga pegawai tentera dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan MPV e-hailing dipandu lelaki berusia 41 tahun.
“MPV berkenaan membawa dua penumpang warga Bangladesh, masing-masing lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Akibat pelanggaran itu, penumpang lelaki yang duduk di bahagian tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata penumpang wanita warga Bangladesh mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Katanya, pemandu MPV e-hailing turut cedera di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta hanya mengalami kecederaan ringan.
“Seorang lagi penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun yang berada dalam Ford Fiesta turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
Katanya, pemandu terbabit ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.








