SHAH ALAM, 5 OKT: Peraturan lebih jelas perlu diwujudkan bagi mengelakkan peniaga dan penyedia perkhidmatan menghapuskan pilihan pembayaran tunai susulan penggunaan transaksi tanpa tunai yang semakin meluas.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata kemudahan teknologi tidak seharusnya menyebabkan pengguna yang mahu atau perlu menggunakan tunai kehilangan pilihan pembayaran.
“Keselesaan teknologi tidak seharusnya menyebabkan peniaga atau penyedia perkhidmatan menentukan hanya satu kaedah pembayaran, khususnya pembayaran digital, sehingga pengguna yang mahu atau perlu menggunakan tunai tidak lagi mempunyai pilihan,” katanya kepada Media Selangor.
FOMCA berkata perkembangan pembayaran digital termasuk penggunaan kod QR merupakan perkembangan positif kerana memudahkan urusan, mempercepat transaksi dan menyokong pembangunan ekonomi digital negara.
"Bagaimanapun, perkembangan itu tidak seharusnya menyebabkan pengguna kehilangan pilihan untuk menggunakan tunai, khususnya apabila wang kertas dan syiling ringgit yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) masih merupakan wang sah di Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, FOMCA menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mempertimbangkan peraturan bagi memastikan alternatif pembayaran yang munasabah terus disediakan untuk urus niaga secara bersemuka, terutama melibatkan perkhidmatan penting dan kemudahan awam.

“Jika sistem digital tidak dapat digunakan disebabkan faktor teknikal atau gangguan akses, pengguna masih perlu mempunyai alternatif untuk membuat pembayaran secara tunai.
“Prinsipnya mudah; pendigitalan seharusnya menambah pilihan pengguna, bukan menghapuskan pilihan,” katanya.
FOMCA turut memaklumkan menerima aduan berhubung sekatan pembayaran tunai termasuk di medan selera dan kaunter tiket pengangkutan awam.
Menurutnya, kebanyakan aduan itu diterima daripada warga emas di kawasan bandar.
Bagaimanapun, masalah pembayaran digital bukan hanya menjejaskan pengguna yang kurang mahir teknologi kerana gangguan internet, sistem perbankan atau aplikasi juga boleh menyebabkan transaksi gagal dilakukan.
“Dalam keadaan sedemikian, pengguna yang mahir menggunakan teknologi juga tidak dapat membuat pembayaran walaupun mempunyai kemampuan dan wang yang mencukupi untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan,” katanya.








