Harga minyak naik, FOMCA bimbang peniaga ambil kesempatan naikkan harga

20 Mac 2026, 12:28 PM
Harga minyak naik, FOMCA bimbang peniaga ambil kesempatan naikkan harga

SHAH ALAM, 20 MAC: Pihak berkuasa digesa memperketat pemantauan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan dengan alasan kos pengangkutan susulan kenaikan harga bahan api.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), T. Saravanan berkata kenaikan harga minyak sering membuka ruang kepada segelintir peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Menurutnya, walaupun kos bahan api dan logistik meningkat, sebarang kenaikan harga perlu berpandukan kos sebenar, bukan sekadar alasan.

“Sebahagian kos mungkin dipindahkan kepada pengguna, tetapi ia mesti munasabah dan ada justifikasi yang jelas.

“Kerajaan perlu mempergiat pemantauan rantaian bekalan dan struktur kos supaya pengguna tidak terbeban,” katanya.

Beliau turut menegaskan ketelusan dalam penetapan harga penting agar pengguna memahami sebab sebenar sesuatu kenaikan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George berkata penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan peniaga.

“Pendekatan perlu lebih menyeluruh, bukan hanya saman atau tarik lesen, sebaliknya cari penyelesaian yang adil untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan harga RON97 ditetapkan pada RM4.55 seliter berbanding RM3.85 sebelum ini, manakala diesel di Semenanjung meningkat kepada RM4.72 seliter daripada RM3.92.

Harga baharu itu berkuat kuasa sehingga 25 Mac ini susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.