FOMCA: Ekonomi Malaysia kekal stabil, tiada kesan ketara konflik Asia Barat

13 Mac 2026, 2:45 AM
FOMCA: Ekonomi Malaysia kekal stabil, tiada kesan ketara konflik Asia Barat

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Keadaan ekonomi domestik serta bekalan barangan keperluan asas di negara ini masih berada dalam keadaan amat stabil dan tidak berdepan sebarang kesan ketara susulan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Sehubungan itu, pengguna dan rakyat di negara ini dinasihatkan supaya kekal tenang dan tidak melakukan pembelian panik sebaliknya menguruskan perbelanjaan secara lebih berhemah dan mengurangkan pembaziran.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata walaupun konflik di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada harga minyak global serta rantaian bekalan, impaknya terhadap pengguna tempatan biasanya berlaku secara berperingkat dan tidak serta-merta.

“Pada tahap ini, kita tidak melihat sebarang kenaikan harga utama yang berkaitan dengan konflik itu. KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) menjalankan tugas dengan baik mengekalkan kestabilan pasaran dan sentiasa memantau harga serta mengambil langkah yang perlu untuk memastikan barangan keperluan sentiasa tersedia pada harga berpatutan.

“Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhemat. Perang yang berlaku sekarang telah mula menyebabkan harga minyak mentah melambung, dan jika konflik itu berterusan, kesannya akhirnya boleh dirasai melalui kos pengangkutan dan logistik yang tinggi, yang seterusnya boleh menjejaskan harga barangan,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang media khas berkaitan perkembangan konflik Asia Barat pada Rabu berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal dengan harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi.

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan di Asia Barat dan merancang langkah seterusnya untuk memastikan kepentingan rakyat serta negara terus terpelihara.

Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan minyak, Perdana Menteri berkata timbalannya Datuk Seri Fadillah Yusof serta KPDN ditugaskan untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Mengulas lanjut, Saravanan berharap kerajaan bersedia menghadapi kemungkinan atau potensi berlaku peningkatan kos sara hidup dengan langkah proaktif serta interversi yang pantas bagi memastikan rantaian bekalan yang mencukupi.

Beliau berkata, biarpun negara masih belum menerima kesan menyeluruh daripada ketidaktentuan global itu, pengguna digalakkan merancang perbelanjaan lebih teliti dengan mengutamakan keperluan asas bagi mengelakkan tekanan kewangan.

“Pada peringkat ini, pengguna tidak perlu panik kerana bekalan dan harga masih kekal stabil. Bagaimanapun, pengguna disarankan untuk terus berbelanja secara berhemah, mengelakkan pembelian panik, dan sentiasa peka terhadap perubahan harga.

“Jika terdapat kenaikan harga yang tidak munasabah, pengguna perlulah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil dan mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan berlaku manipulasi harga,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Azizuddin Ahmad berkata langkah awal dan strategik bagi mengawal keadaan ekonomi negara sebagaimana diumumkan Perdana Menteri disifatkan sebagai bertepatan dengan keadaan semasa.

“Ia menunjukkan kesiapsiagaan dan keprihatinan yang tinggi kerajaan dalam memastikan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya.

Azizuddin berkata langkah pemantauan dan usaha memperketat kawalan harga barang keperluan asas penting untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat akibat daripada konflik antarabangsa itu.

“Komitmen kerajaan menerusi KPDN untuk bertindak lebih tegas terhadap sebarang usaha penyeludupan dan penyorokan barangan keperluan rakyat bagi mengaut keuntungan juga satu langkah pencegahan yang perlu disokong.

“WADAH yakin dan percaya bahawa langkah-langkah pencegahan yang diumumkan ini dapat bertindak sebagai benteng awal yang kukuh dalam menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi global,” katanya.

Dalam masa sama, WADAH berharap agar kerajaan terus mengadakan perbincangan secara telus dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang pelaksanaan dasar dapat berjalan lancar dan memberi manfaat optimum kepada semua.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.