Ramai pengguna tidak sedar kepentingan penarikan balik produk - FOMCA

15 Mac 2026, 2:00 AM
Ramai pengguna tidak sedar kepentingan penarikan balik produk - FOMCA
Ramai pengguna tidak sedar kepentingan penarikan balik produk - FOMCA

SHAH ALAM, 15 MAC: Kesedaran pengguna di Malaysia terhadap penarikan balik produk (product recall) masih rendah walaupun mekanisme itu penting bagi menjamin keselamatan pengguna.

Penarikan balik produk adalah tindakan pengeluar menarik semula produk dari pasaran apabila dikenal pasti mempunyai kecacatan atau risiko keselamatan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata ramai pengguna masih tidak memahami kepentingan membuat aduan sekiranya produk yang digunakan didapati rosak atau mempunyai risiko keselamatan.

Menurutnya, aduan pengguna merupakan elemen penting yang membantu syarikat mengenal pasti masalah pada sesuatu produk sebelum tindakan lanjut seperti penarikan balik dilakukan.

“Aduan pengguna adalah kunci kepada keselamatan produk kerana daripada aduan itulah syarikat akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya menerusi program Bicara Semasa bertajuk Produk Selamat, Pengguna Yakin sempena Hari Pengguna Sedunia terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, pengguna tidak seharusnya terus membuang produk yang rosak tanpa memaklumkan kepada pengeluar atau pihak berkaitan kerana tindakan itu boleh menyebabkan punca sebenar masalah tidak dapat dikenal pasti.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

“Ada pengguna apabila produk rosak, mereka terus buang sahaja dan beli yang baharu. Sedangkan aduan itu penting supaya syarikat boleh membuat siasatan lanjut sama ada masalah tersebut melibatkan satu produk atau keseluruhan kelompok produk,” katanya.

Maklumat yang diterima daripada pengguna membolehkan pengeluar menilai tahap risiko produk dan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi pengguna lain.

Produk ada logo keselamatan masih berisiko

Nur Asyikin berkata, produk yang mempunyai logo keselamatan dan telah melalui ujian makmal tidak semestinya bebas sepenuhnya daripada risiko kerana masalah tertentu hanya dapat dikenal pasti selepas digunakan oleh pengguna.

Menurutnya, dalam sesetengah keadaan kerosakan komponen atau kecacatan produk hanya dikesan apabila ia digunakan dalam situasi sebenar.

“Walaupun produk itu telah melepasi ujian makmal dan mempunyai logo keselamatan, kadangkala risiko hanya dapat dikesan selepas pengguna mula menggunakannya. Sebab itu maklum balas dan aduan pengguna sangat penting untuk membantu pengeluar mengenal pasti kelemahan produk,” katanya.

Produk berlogo keselamatan tidak semestinya bebas risiko. Foto AI

Sehubungan itu, FOMCA menggesa orang ramai supaya lebih peka dan melaporkan sebarang produk bermasalah bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pengguna boleh membuat aduan melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) yang dikendalikan FOMCA sebelum kes dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Melalui NCCC, kami akan membantu memediasi aduan antara pengguna dan syarikat terlebih dahulu sebelum perkara itu dibawa kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Portal GlobalRecalls oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) merekodkan lebih 54,000 notifikasi penarikan semula produk di peringkat global melibatkan pelbagai kategori barangan.

Situasi itu menunjukkan kepentingan kesedaran pengguna untuk melaporkan sebarang masalah pada produk bagi memastikan risiko keselamatan dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Pengguna di Malaysia juga boleh menyemak maklumat berkaitan produk yang ditarik balik melalui laman sesawang MySAFE oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan melayari pautan ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.