Warisan Sultan Salahuddin kekal dikenang selepas 25 tahun kemangkatan

22 Nov 2026, 3:26 AM
Warisan Sultan Salahuddin kekal dikenang selepas 25 tahun kemangkatan
Warisan Sultan Salahuddin kekal dikenang selepas 25 tahun kemangkatan

SHAH ALAM, 22 NOV: Genap 25 tahun kemangkatan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj semalam, warisan Sultan Selangor kelapan itu terus terpahat dalam sejarah pembangunan Shah Alam.

Legasi penting pemerintahan Baginda antaranya pemilihan nama Shah Alam sebagai penghormatan kepada paduka ayahanda Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, selain pembinaan Masjid Negeri.

Menurut perkongsian Selangor Royal Office di Facebook, Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor pada 7 Disember 1978 selepas Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan.

Bandar itu kemudian memperoleh status bandar raya pada 10 Oktober 2000, ketika Almarhum masih menyandang takhta Yang di-Pertuan Agong ke-11.

“Di ibu negeri itulah terserlah antara warisan Almarhum yang paling dekat dengan kehidupan rakyat.

Potret Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor kelapan dan Yang di-Pertuan Agong ke-11, yang terus dikenang atas jasa serta sumbangan Baginda sepanjang pemerintahan. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, Almarhum mengilhamkan pembinaan Masjid Negeri dan menyempurnakan perasmiannya pada 11 Mac 1988,” menurut perkongsian itu.

Masjid Negeri atau Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kekal menjadi tempat umat Islam berhimpun untuk beribadah dan menimba ilmu, antara peninggalan bermakna pemerintahan Baginda.

Selangor Royal Office turut mengenang keperibadian Almarhum yang dikenali sebagai seorang raja mesra rakyat sepanjang 41 tahun pemerintahan Baginda.

“Di sebalik segala perubahan yang disaksikan Selangor sepanjang pemerintahan Almarhum, kemesraan Baginda dengan rakyat mempunyai tempat tersendiri dalam ingatan dan dikenang sebagai seorang raja yang mesra rakyat,” menurut perkongsian itu lagi.

Almarhum diputerakan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar Temasya, Jugra, Kuala Langat, sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor pada 3 September 1960.

Selepas hampir empat dekad menaungi Selangor, Baginda mula menyandang takhta Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 26 April 1999.

Almarhum mangkat pada 21 November 2001, bersamaan 5 Ramadan 1422 Hijrah, di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, pada usia 75 tahun.

Ketika kemangkatan pada jam 11.57 pagi itu, Baginda masih menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Selangor Royal Office turut menzahirkan penghargaan terhadap legasi Almarhum yang terus hidup dalam ingatan rakyat meskipun 25 tahun berlalu.

“Dalam ingatan rakyat yang pernah hidup di bawah pemerintahan Baginda, Almarhum tetap dikenang dengan kasih sebagai Raja yang dekat di hati,” menurut perkongsian itu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.