SHAH ALAM, 21 NOV: Seramai 489 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen (Imigresen) Selangor di kawasan komersial Taman Sri Muda di sini, pagi tadi, selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Operasi bermula kira-kira jam 11 pagi itu menyaksikan ramai warga asing cuba melarikan diri melalui lorong antara deretan rumah kedai, namun laluan keluar sudah dikawal anggota penguat kuasa termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, 831 warga asing diperiksa dalam operasi membabitkan 26 blok rumah kedai sekitar Jalan Makmur 25/64.
“Daripada 831 warga asing yang diperiksa, seramai 489 ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Mereka akan dibawa ke depoh imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di lokasi operasi, hari ini, lapor Berita Harian.
Menurut Lokman Effendi, operasi itu menyasarkan warga asing yang tidak memiliki dokumen sah, tinggal lebih masa selain menyalahgunakan pas dan permit kerja, termasuk mereka yang memiliki permit sektor pembinaan tetapi bekerja di restoran.
“Kita dapati ada penyalahgunaan permit kerja apabila warga asing yang diberikan permit untuk bekerja dalam sektor pembinaan, sebaliknya bekerja di restoran.
“Majikan yang mengambil mereka juga melakukan kesalahan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah bagi sektor berkenaan. Jika mahu mengambil pekerja untuk restoran, majikan perlu memastikan mereka mempunyai permit bekerja dalam sektor perkhidmatan,” katanya.
Mengikut statistik, tahanan terdiri daripada 152 warga Bangladesh, Nepal (115), Myanmar (99), India (65), Indonesia (43), Pakistan (11) dan Sri Lanka (empat), termasuk 84 wanita berusia antara 19 hingga 62 tahun.
Operasi yang berakhir kira-kira jam 1 tengah hari itu membabitkan 254 pegawai dan anggota daripada lapan agensi termasuk Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), PGA dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan enam kompaun berjumlah RM16,500, manakala Imigresen mengeluarkan lima Borang 29 atau saman saksi kepada pemilik premis bagi membantu siasatan.







