KUALA LUMPUR, 16 NOV: Isu bekalan elektrik yang menyebabkan Pintu Air Sri Muda, Shah Alam, Selangor beroperasi secara manual dijangka diselesaikan dalam tempoh enam minggu, kata Ahli Parlimen Kota Raja Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata jaminan itu diberikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ketika beliau meninjau keadaan pintu air berkenaan hari ini bagi melihat tahap kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata penyelesaian isu itu penting bagi membolehkan pintu air berkenaan kembali beroperasi secara automatik.
“Saya berharap komitmen ini dapat ditunaikan mengikut tempoh yang dijanjikan demi keselamatan dan ketenangan penduduk.
“Sementara menunggu sistem automatik dapat berfungsi sepenuhnya, saya berharap JPS memastikan operasi, pemantauan paras air dan kesiapsiagaan petugas sentiasa berada pada tahap terbaik, terutama ketika hujan lebat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata JPS turut memaklumkan paras air Sungai Klang di Taman Sri Muda berada dalam keadaan terkawal, namun pemantauan berterusan amat penting, khususnya selepas kejadian banjir kilat yang melanda kawasan itu pada 8 November lalu.
Mohamad berkata pengurusan banjir bukan sekadar melibatkan bacaan paras air atau kecekapan pintu air, sebaliknya turut membabitkan keselamatan nyawa, rumah dan kehidupan ribuan penduduk yang perlu dilindungi.
“Kami tidak mahu tragedi lepas berulang hanya kerana kelemahan persediaan dan penyelenggaraan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata tragedi banjir besar pada Disember 2021 masih segar dalam ingatan penduduk Taman Sri Muda apabila banyak rumah ditenggelami air, harta benda musnah dan ada keluarga kehilangan insan tersayang.
Beliau turut meminta penduduk Taman Sri Muda dan kawasan sekitarnya supaya terus berwaspada serta mengikuti makluman pihak berkuasa.







