TELOK PANGLIMA GARANG, 5 OKT: Hampir 900,000 pelajar di seluruh Selangor dijangka menerima manfaat menerusi pelaksanaan Mega NutriSel yang akan berlangsung pada pertengahan Oktober ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu akan diperluaskan ke sekolah di seluruh negeri sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sokongan nutrisi kepada pelajar.

“Mega NutriSel akan dilaksanakan pada pertengahan Oktober di sekolah seluruh Selangor dengan kira-kira 900,000 pelajar dijangka menerima manfaat,” katanya selepas Program NutriSel di SMK Telok Panglima Garang di sini hari ini.
Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan peruntukan dan kos dalam belanjawan bagi memastikan program NutriSel dapat diteruskan.
Program NutriSel ketika ini memberi manfaat kepada 104,640 murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan isi rumah bawah RM2,000 di 932 sekolah seluruh Selangor.
Di Kuala Langat sahaja, sebanyak 78 sekolah membabitkan 8,616 pelajar menerima manfaat program berkenaan.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri turut menerima tambahan peruntukan RM2 juta bagi memperkukuh pelaksanaan NutriSel, termasuk menambah bekalan makanan tahan lama seperti susu dan roti.
“Di Kuala Langat, sebanyak 78 sekolah membabitkan 8,616 pelajar menerima manfaat NutriSel dan kita turut menerima tambahan RM2 juta daripada peruntukan sedia ada supaya program ini boleh diperkasakan.
“Kita menambah makanan yang boleh tahan lama seperti susu dan roti,” katanya.
Di Telok Panglima Garang, seramai 124 murid SK Telok Panglima Garang dan 622 pelajar SMK Telok Panglima Garang menerima makanan menerusi program berkenaan.
Pengetua SMK Telok Panglima Garang, Hanizam Kassim berkata pelaksanaan NutriSel turut memberi kesan positif terhadap kehadiran pelajar.
“Selepas adanya NutriSel, kita lihat pelajar semakin rajin datang ke sekolah kerana mereka menerima makanan percuma dua kali seminggu.
“Jumlah penerima ini memang berbaloi dan membantu pelajar yang memerlukan,” katanya.

NutriSel dilaksanakan serentak di 932 sekolah seluruh negeri sejak 3 Ogos lalu dengan makanan percuma disediakan setiap Isnin dan Khamis menerusi peruntukan keseluruhan RM12.5 juta.











