PETALING JAYA, 25 NOV: Malaysia perlu memastikan pelaburan asing yang diluluskan membawa manfaat menerusi pemindahan teknologi, pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta penglibatan lebih besar syarikat tempatan, bukan sekadar memberi peluang kepada perniagaan dalam sektor perkhidmatan asas.
Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata Malaysia mempunyai jumlah pelaburan diluluskan yang besar, namun cabaran utama adalah memastikan pelaburan itu diterjemahkan kepada operasi perniagaan, pekerjaan bernilai tinggi serta peluang kepada syarikat tempatan.
“Kerajaan kini menyedari kepentingan melibatkan syarikat tempatan dalam rantaian nilai pelaburan bagi memastikan pemindahan pengetahuan dan teknologi dapat dilaksanakan.
“Ukuran kejayaan sebenar adalah sama ada pelaburan yang diluluskan mampu mewujudkan kapasiti operasi, mengaktifkan rantaian bekalan tempatan, menawarkan pekerjaan lebih baik serta menjana permintaan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran REHDA Institute CEO Series 2027 di Wisma REHDA, di sini, hari ini.
Menurutnya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan sebanyak RM350.4 bilion pelaburan diluluskan direkodkan sehingga September tahun ini.
Pelaburan itu membabitkan hampir 4,400 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 150,000 peluang pekerjaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.
Sementara itu, Ng berkata CEO Series 2027 menyediakan peluang kepada pelabur antarabangsa untuk menjalinkan hubungan dengan pemain industri tempatan, selain membuka ruang kepada syarikat Malaysia menjadi rakan pelabur dan memperoleh pengetahuan menerusi kerjasama strategik.
Beliau turut menegaskan perkembangan industri pusat data akan mewujudkan permintaan jangka panjang terhadap tenaga kerja berkemahiran bagi mengendalikan serta menyelenggara kemudahan berkenaan.
Justeru, katanya, sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara perlu membangunkan kepakaran serta kemahiran yang diperlukan industri itu, khususnya dalam pengurusan dan penyelenggaraan pusat data.
Menurutnya, perkembangan itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah memberi kesan berganda kepada rantaian bekalan lebih luas, termasuk sektor pembekalan bahan dan perkhidmatan.
CEO Series yang diperkenalkan pada 2016 merupakan persidangan tahunan berhubung prospek ekonomi yang menghimpunkan penggubal dasar kanan, pemimpin korporat, ahli ekonomi serta profesional industri.
Persidangan anjuran Institut REHDA itu dilaksanakan dengan kerjasama 15 persatuan industri bagi menggalakkan perbincangan berasaskan maklumat, memperkukuh kerjasama merentas industri serta mengetengahkan perspektif strategik mengenai daya saing, daya tahan dan pertumbuhan mampan jangka panjang Malaysia.










