KISAS raih 11 anugerah kecemerlangan akademik daerah Klang

5 Okt 2026, 2:00 AM
KISAS raih 11 anugerah kecemerlangan akademik daerah Klang
KISAS raih 11 anugerah kecemerlangan akademik daerah Klang

KLANG, 5 OKT: Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) meraih 11 anugerah menerusi Majlis Apresiasi Pengiktirafan Prestasi, Inspirasi dan Kecemerlangan Akademik Daerah Klang Tahun 2025 (PRISMA’25).

Antara pencapaian diraih ialah Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tertinggi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), 100 peratus lulus STPM, aliran Sains Sosial terbaik, pelajar PNGK 4.0 serta Gred Purata Sekolah terbaik bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad pula meraih enam anugerah termasuk Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam.

SMK Tinggi Klang turut membawa pulang lima anugerah meliputi lonjakan PNGK STPM, GPMP tertinggi Pengajian Am, aliran Sains terbaik serta pelajar cemerlang PNGK 4.0.

Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain berucap sempena majlis perasmian Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor (K-SEMANIS '26) dan Majlis Apresiasi Pengiktirafan Prestasi, Inspirasi Dan Kecemerlangan Akademik Daerah Klang Tahun 2025 (PRISMA???25) di Wyndham Acmar, Klang pada 4 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata PRISMA’25 menjadi platform mengiktiraf pencapaian pendidikan pada pelbagai peringkat serta keupayaan murid.

“Anugerah ini mengiktiraf pelbagai kecemerlangan termasuk penguasaan asas di sekolah rendah melalui Pemulihan Khas, pencapaian Khatam al-Quran dan NILAM 5 Bintang, seterusnya kecemerlangan akademik SPM dan STPM serta pencapaian Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK),” katanya dalam ucapan.

Dalam majlis sama, Abd Hamid turut merasmikan Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor (K-SEMANIS ’26).

Program itu bertujuan membudayakan inovasi dalam kalangan murid dan warga pendidik dengan memberi fokus kepada Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain pendigitalan pendidikan serta kecerdasan buatan (AI).

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Pandamaran, Tony Leong dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Klang, Azmuddin Muhamad.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.