SEPANG, 4 OKT: Festival Makanan Mega Selangor 2026 (SMFF26) menyasarkan lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di kawasan parkir Mitsui Outlet Park Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata pemilihan lokasi berkenaan dibuat bersempena perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus memanfaatkan kehadiran peminat sukan permotoran untuk singgah dan meneroka tarikan di Selangor.
“Tahun ini agak luar biasa sempena F1 yang kembali ke SIC selepas sembilan tahun. Jadi, kita susun penganjuran festival ini bersama dan mendapat kerjasama baik daripada Mitsui Outlet Park.
“Kita berharap pelancong yang datang ke Selangor dan Sepang untuk menonton F1, pada masa sama mereka dapat pusing Selangor terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan SMFF26 di sini, hari ini.

Menurutnya, festival itu turut menjadi platform mengetengahkan warisan dan keunikan makanan tempatan kepada pengunjung, termasuk pelancong antarabangsa.
Suee Lim berkata sambutan sepanjang dua hari pertama festival itu menggalakkan terutama pada sebelah malam, malah terdapat pengunjung yang singgah membeli makanan sebelum meneruskan perjalanan ke SIC.
“Kita tonjolkan warisan dan sejarah makanan supaya nama Selangor terus melonjak di mata dunia.
“Setakat ini, hari pertama dan kedua terutama sebelah malam sambutan bagus. Malam ini saya yakin akan penuh di sini,” ujarnya.
Jelas beliau, festival berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan di lokasi berbeza sebagai antara usaha mempromosikan makanan tempatan dan tarikan pelancongan negeri.

Mengulas penganjuran tahun depan, Suee Lim berkata lokasi festival masih dalam kajian dengan mengambil kira sambutan pengunjung, kesesuaian logistik serta kerjasama pelbagai pihak.
“Kalau respons bagus, lokasi dan logistiknya baik serta kerjasama pun bagus, mungkin tahun depan kita akan berada di sini juga.
“Kita masih dalam perancangan,” katanya.
SMFF26 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober menghimpunkan lebih 60 vendor makanan dan minuman dengan mengetengahkan kepelbagaian cita rasa Selangor menerusi sajian tradisional, moden serta hidangan semasa.
Festival itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis termasuk Cepang, Sofaz, VIP Band, Kristal X dan XPDC yang dijadualkan membuat persembahan malam ini.











