SEPANG, 5 OKT: Festival Makanan Mega Selangor 2026 (SMFF26) membuka peluang kepada pengusaha makanan dan inap desa tempatan memperkenalkan produk serta pengalaman pelancongan negeri itu kepada pengunjung, termasuk pelancong dari luar Selangor.
Pengasas Banghuris Homestay, Wak Basir Wagiman, 75, berkata penganjuran festival berkenaan membantu pengusaha tempatan memperluas promosi produk kepada pengunjung yang datang dari pelbagai lokasi.

“Penganjuran ini memberi ruang kepada pengusaha makanan dan inap desa untuk mempromosikan produk kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui Media Selangor, semalam.
Berlangsung di kawasan parkir Mitsui Outlet Park, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, SMFF26 menyasarkan lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 2 Oktober lalu.

Terdahulu, EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim ketika merasmikan program itu berkata pemilihan lokasi berkenaan bersempena perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus membuka peluang kepada peminat sukan permotoran untuk singgah dan meneroka tarikan pelancongan di Selangor.
Bagi Peniaga Cekodok Nani, Shahizwan Shahwal, 29, pula, makanan tempatan seperti cekodok mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai antara tarikan kepada pengunjung.
Katanya, kehadiran pelancong ke festival itu memberi peluang kepada mereka mengenali dan merasai makanan tempatan yang mempunyai keunikan tersendiri.

“Kehadiran pelancong ke festival ini beri peluang kepada mereka merasai makanan baharu yang mempunyai keunikan tersendiri seperti cekodok.
“Cekodok kami berbeza kerana selepas beberapa ketika ia masih kekal rangup dan tidak lembik,” katanya.
Shahizwan berkata, produk makanan tempatan seperti itu boleh diketengahkan bersama pelbagai tarikan lain bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Selangor.
Sementara itu, pengunjung Mohamed Rafi Maaris, 56, berkata kepelbagaian makanan dan aktiviti yang ditawarkan menjadikan SMFF26 sesuai dikunjungi bersama rakan serta keluarga.

“Saya datang bersama kira-kira 30 rakan untuk menyertai pertandingan karom dan sama-sama meraikan kemeriahan program hari ini.
“Banyak pilihan makanan yang dijual seperti cekodok, sup dan air kelapa turut ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya.
Menurutnya, kepelbagaian makanan dan budaya yang diketengahkan menerusi festival itu berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk mengenali Selangor.










