SHAH ALAM, 3 OKT: Simpanan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) memberi manfaat kepada anak Selangor apabila wang diterima menjadi bekal untuk meneruskan pengajian dan menampung keperluan sepanjang berada di kolej.
Selain itu bantuan RM1,500 yang diterima juga membantu mereka untuk membeli peranti elektronik mudah alih atau tablet bagi menyokong keperluan pembelajaran masa kini.
Bagi Adib Mukhriz Fairul Faizal, 18, manfaat diterimanya akan digunakan sebagai wang perbelanjaan sepanjang melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Seberang Perai, Pulau Pinang.
"Saya akan gunakan bantuan ini untuk duit belanja sepanjang belajar di sana nanti.

"Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan ini dan berharap lebih banyak sumbangan seperti ini dapat diteruskan," katanya ditemui ketika Program Tuaian Anak Harapan (TUAH) TAWAS dan Penyerahan Manfaat RM1,500 kepada penerima di Pusat Konvensyen KSL di Klang hari ini.
Program berkenaan dirasmikan Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Penerima lain, Sivan Chan Ee Xiang, 18, berkata wang TAWAS yang diterima juga digunakan untuk menampung perbelanjaan sendiri termasuk keperluan pembelajaran.
Menurutnya, manfaat tersebut membantu mengurangkan beban kewangan pelajar khususnya ketika melanjutkan pengajian.
“Gembira terima wang TAWAS kerana wang ini boleh digunakan untuk perbelanjaan sendiri dan keperluan pembelajaran.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat meneruskan bantuan seperti ini supaya lebih ramai pelajar mendapat manfaat pada masa akan datang,” katanya.
P Prathinggara, 18, berkata beliau mengenali TAWAS sejak kecil dan gembira apabila menerima manfaat tersebut selepas mencapai usia 18 tahun.
Menurutnya, sebagai pelajar, beliau tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk menampung keperluan pembelajaran.

“Saya bercadang menggunakan wang TAWAS ini untuk membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta menampung kos projek Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Bantuan ini amat membantu kerana sebagai pelajar, kita juga mempunyai pelbagai keperluan lain,” katanya yang berharap program itu diteruskan dan dikembangkan sebagai satu bentuk simpanan pendidikan yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, sekiranya diberikan ruang untuk menambah simpanan, ibu bapa juga boleh menyumbang sejumlah wang secara berkala supaya tabungan anak dapat berkembang dan digunakan apabila mencapai usia 18 tahun.
Penuntut Universiti Selangor (UNISEL) Nur Adlina Feroz Hanif, 18, berkata beliau berhasrat membeli tablet kerana kini peranti merupakan sebahagian keperluan dalam pengajian.
“Saya sangat gembira menjadi anak Selangor kerana menerima inisiatif ini, tidak semua dapat kemudahan yang disediakan. Masa saya dapat tahu terima bantuan memang terkejut kerana ibu maklumkan akan terima RM1,500.

“Saya bercadang gunakan bantuan ini beli tablet kerana banyak guna keperluan digital dalam pembelajaran,” katanya yang mengambil jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berharap Kerajaan Negeri terus membantu rakyat Selangor khususnya dalam bidang pendidikan seterusnya memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.
Bagi Siti Haninda Aulia Amiruddin, 18, beliau mahu menyimpan bantuan yang digunakan untuk melanjutkan pengajian pada masa akan datang.
“Saya kini bekerja di sebuah syarikat logistik dan sebagai anak tunggal mahu membantu keluarga. Buat masa ini, saya hendak bekerja dahulu tetapi mahu menyimpan bantuan ini untuk melanjutkan pengajian kelak.
“Sebenarnya saya bersyukur kerana menerima inisiatif ini dan berterima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa cakna dengan manfaat disedia Kerajaan Negeri kepada rakyat,” katanya.
TAWAS diperkenalkan pada 2008 sebagai program kebajikan berkonsepkan tabungan untuk anak kelahiran Selangor dan setiap ahli menerima manfaat RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun.
Bagi penerima yang didaftarkan pada tahun 2008, pembayaran manfaat mula dilaksanakan tahun ini selepas mereka mencapai usia 18 tahun.
Amirudin memaklumkan, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM31 juta bagi pembayaran manfaat RM1,500 kepada 21,000 penerima kumpulan pertama TAWAS tahun ini.
Beliau berkata setakat ini, 13,000 penerima sudah mendaftar untuk menuntut manfaat berkenaan dengan usaha menghubungi baki penerima akan dipergiat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.









