KLANG, 3 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka mengumumkan senarai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Dato' Seri Amirudin Shari berkata persiapan menghadapi pilihan raya itu digerakkan sejak kira-kira dua bulan lalu menerusi siri pertemuan dan penyelarasan gerak kerja jentera.
“Jentera sudah berjalan. Saya ingat semenjak dua bulan lepas, segala proses pertemuan dengan jentera dan pasukan telah dibuat dan saya rasa jentera HARAPAN sudah bergerak dan bersedia.
“Cuma jajaran persefahaman, itu saja tinggal persoalan. Hanya kita perlu mengumumkan calon. Saya sedang tunggu tarikh, insya-Allah dalam masa terdekat, seminggu dua minggu lagi kita akan umumkan calon kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Tuaian Anak Harapan (TUAH) TAWAS dan Penyerahan Manfaat RM1,500 kepada penerima di Pusat Konvensyen KSL, di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, HARAPAN kekal terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi menentukan bentuk persefahaman menjelang PRN berkenaan.
"Kita terbuka. Kalau ada ruang perbincangan, kita berbincang. Kalau tidak, kita juga bersedia untuk bertanding mengikut kapasiti dan persefahaman yang sedia ada," katanya.
Mengulas kemungkinan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau berkata perkara itu masih diteliti dan dijangka lebih jelas dalam tempoh terdekat.
"Kita sedang lihat kemungkinan itu dan mungkin dalam minggu hadapan atau seminggu dua minggu lagi, kita akan dapat lihat.
"Kadang-kadang parti politik ini kalau berunding, bincang, bincang, bincang tak selesai. Sampailah hari pengumuman calon dibuat, nanti barulah selesai. Itu biasa," ujarnya.
Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata landskap politik semasa masih dinamik dengan parti terbabit meneruskan rundingan bagi menentukan bentuk persefahaman masing-masing menjelang pilihan raya.
"Suasana politik sangat cair dan masing-masing sedang mencari solusi dan rakan kongsi yang terbaik untuk mendapatkan keputusan terbaik bagi setiap parti dalam pilihan raya.
"Jadi proses cuba dan uji ini berlaku. Ada yang berjaya, ada yang tidak berjaya, tetapi kita sentiasa cuba meneruskan tawaran kepada rakyat berdasarkan apa yang telah kita buktikan di negeri dan juga pencapaian Kerajaan Persekutuan," katanya.
Sebelum ini, HARAPAN Melaka memaklumkan pembahagian kerusi antara parti komponennya di peringkat negeri telah selesai, namun susunan akhir akan dimuktamadkan selepas perbincangan membabitkan Majlis Presiden HARAPAN, pimpinan negeri dan Pengarah Pilihan Raya gabungan itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini bagi menentukan tarikh penting PRN Melaka termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian.







