Sepang jadi pentas Bahrain tonjol keupayaan anjur F1

2 Okt 2026, 11:20 AM
Sepang jadi pentas Bahrain tonjol keupayaan anjur F1
Sepang jadi pentas Bahrain tonjol keupayaan anjur F1
Sepang jadi pentas Bahrain tonjol keupayaan anjur F1

SEPANG, 2 OKT: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi pentas Bahrain mempamerkan keupayaan mengendalikan acara sukan bertaraf dunia apabila persediaan penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia berjaya disiapkan dalam tempoh kurang 10 minggu.

Penasihat Hal Ehwal Media Pejabat Putera Mahkota Bahrain, Isa Al Hammadi berkata tempoh singkat itu menyaksikan pelbagai pihak dari Bahrain dan Malaysia berganding bahu dalam aspek persiapan, pengurusan, pelaksanaan serta pembentukan identiti GP Bahrain di Sepang.

Beliau berkata penganjuran perlumbaan di Malaysia merupakan satu cabaran besar, namun kerjasama yang erat membolehkan tugasan berkenaan diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

“Penganjuran perlumbaan di Malaysia merupakan satu cabaran besar dan pasukan Bahrain berjaya mencapai hasil yang mengagumkan dari segi pengurusan, persiapan, perancangan, pelaksanaan dan identiti litar dalam tempoh kurang 10 minggu,” katanya dalam temu bual dengan akhbar berbahasa Arab Bahrain, Al-Ayam.

Menurut Al Hammadi, kejayaan itu turut disokong penglibatan tenaga dan kepakaran Bahrain dalam pelbagai bidang, termasuk marshal, petugas pengurusan serta operasi litar, selain syarikat dalam sektor pelancongan dan telekomunikasi.

Beliau berkata penglibatan lebih 500 tenaga Bahrain di Sepang bersama rakan-rakan dari Malaysia memperlihatkan kerjasama kedua-dua negara dalam menjayakan penganjuran acara berkenaan.

“Semua pihak bekerja sebagai satu pasukan, iaitu Pasukan Bahrain,” katanya.

Al Hammadi berkata kehadiran lebih 100,000 penonton di SIC, selain penglibatan tenaga Bahrain, turut menjadi antara aspek penting dalam penganjuran GP Bahrain di Malaysia.

Beliau berkata kewujudan Bahrain Village di lokasi acara turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali budaya Bahrain menerusi pelbagai aktiviti dan pengalaman yang disediakan.

Dari sudut promosi antarabangsa, Al Hammadi berkata penganjuran GP Bahrain di Malaysia turut memberi ruang kepada Bahrain memperkenalkan identiti negara itu kepada khalayak global menerusi capaian luas F1.

Beliau berkata peningkatan minat terhadap F1 dalam kalangan generasi baharu, termasuk susulan kandungan dokumentari mengenai sukan itu di platform penstriman, turut membuka ruang lebih besar untuk Bahrain dikenali di peringkat antarabangsa.

“Jika kita katakan Bahrain berada di Malaysia hari ini, maka secara semula jadinya perhatian dunia turut tertumpu kepada Bahrain walaupun kita berada di Malaysia,” katanya.

GP Bahrain di Sepang berlangsung dari 2 hingga 4 Okt selepas perlumbaan yang pada asalnya dijadualkan di Bahrain pada April tidak dapat diadakan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

F1 pada Julai mengesahkan Malaysia sebagai lokasi GP Bahrain 2026 hasil persetujuan antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.