261,000 penonton catat rekod baharu kehadiran di SIC

5 Okt 2026, 8:09 AM
261,000 penonton catat rekod baharu kehadiran di SIC

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Sebanyak 261,000 penonton hadir menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026, sekali gus mencatat rekod baharu kehadiran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

SIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah penonton itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain Sheikh Salman Isa Al Khalifa.

Jumlah itu termasuk 103,000 penonton yang menyaksikan perlumbaan di litar ikonik Malaysia itu semalam.

Sheikh Salman dalam kenyataan sama berkata platform F1 menyediakan peluang untuk mengetengahkan budaya dan layanan mesra Bahrain kepada peminat di seluruh rantau ini di lokasi ikonik Malaysia berkenaan.

“Lebih 260,000 peminat hadir menyaksikan acara terbesar yang pernah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dan kami berterima kasih kepada mereka kerana membawa semangat serta tenaga mereka,” katanya.

Jumlah itu mengatasi rekod sebelum ini, iaitu 126,690 penonton yang dicatatkan pada GP Malaysia 2008.

Pada Julai, Malaysia disahkan sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt berikutan persetujuan yang dicapai antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu mengekalkan GP Bahrain dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

SIC menganjurkan GP Malaysia dari 1999 hingga 2017.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.