Antara huru-hara litar dan 'durian runtuh' ekonomi

9 Okt 2026, 12:30 PM
Antara huru-hara litar dan 'durian runtuh' ekonomi

"Perlumbaan paling gila dan dramatik untuk musim ini!"Itulah luahan seragam peminat tegar Formula Satu (F1) sebaik sahaja bendera penamat dikibarkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Ahad lalu.

Bagi jutaan penonton di hadapan kaca televisyen dari Eropah hingga ke benua Amerika, kepulangan mengejut F1 ke bumi Selangor bukan sekadar mengimbau nostalgia deruman enjin jentera berkelajuan tinggi.

Lebih daripada itu, ia membuktikan satu hakikat yang tidak dapat disangkal: litar moden berasaskan jalanan (street race) seperti di Miami, Las Vegas mahupun Madrid masih gagal menandingi magis, cabaran teknikal, dan drama tulen yang sentiasa disajikan oleh litar kebanggaan kita di Sepang.

Penganjuran secara ‘one-off’ bagi menggantikan Grand Prix Bahrain yang dibatalkan, meletakkan Sepang sekali lagi di bawah sorotan radar dunia sukan bermotor antarabangsa.

Menariknya, cuaca tropika tanah air yang terkenal dengan sifat tidak menentu memainkan peranan penting sebagai watak utama. Hujan lebat yang membasahi sebahagian trek secara tiba-tiba mencetuskan huru-hara taktikal dalam kalangan jurutera dan pengurus pasukan ternama.

Segala percaturan data komputer berkecai sekelip mata, memaksa pemandu bertarung dengan naluri di permukaan litar yang licin bagai ais. Di litar basah, kesilapan sekecil zarah membawa padah yang cukup mahal.

Pasukan Audi yang mula menunjukkan peningkatan prestasi enjin terpaksa menelan kepahitan apabila pemandu mudanya, Gabriel Bortoleto, tersilap membaca takat brek di selekoh kedua sebelum menggelongsor merempuh jentera Williams milik Carlos Sainz. Kesilapan itu mengakibatkan kerosakan sayap depan serta penalti masa 10 saat.

Rakan sepasukannya, Nico Hulkenberg, pula mengambil pertaruhan berisiko tinggi dengan memakai tayar licin (slicks) seawal perlumbaan. Walaupun percaturannya hampir membuahkan hasil apabila trek mula mengering, kemunculan kereta keselamatan (safety car) meragut segala jurang masa, memaksanya akur di tangga ke-11.

Nasib malang turut menimpa pasukan McLaren apabila bintang mereka, Lando Norris, melakukan kesilapan yang sepatutnya boleh dielak apabila terperangkap di belakang jentera Mercedes milik George Russell yang tersadai di bawah kawalan kereta keselamatan, membolehkan Liam Lawson (Racing Bulls) dan Fernando Alonso (Aston Martin) memintasnya dengan mudah.

Di sebalik segala kekusutan itu, pemandu muda sensasi Mercedes, Kimi Antonelli, mempamer ketenangan luar biasa menamatkan saingan di podium kedua di belakang pemenang tempat pertama, Max Verstappen—sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam carta kejuaraan dunia.

Pemandu Mercedes, Andrea Kimi Antonelli (tengah) bersama bapanya, Marco Antonelli (kiri) sebelum perlumbaan, semasa Grand Prix Formula Satu (F1) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang di Sepang, pada 4 Oktober 2026. Foto REUTERS

Pacu ekonomi setempat

Namun, di sebalik aksi mendebarkan di atas tar litar, cerita sebenar yang paling dekat di hati rakyat marhaen ialah limpahan rangsangan ekonomi yang membasahi bumi Selangor dan kawasan sekitarnya.

Menurut nota penyelidikan Hong Leong Investment Bank (HLIB), temasya sukan mega ini dianggar menjana antara RM1.1 bilion hingga RM1.3 bilion dalam jumlah ‘output’ ekonomi, disokong oleh kesan pengganda (multiplier effect) antara 1.5 hingga 2.1 kali ganda.

Berdasarkan demografi peminat F1 antarabangsa yang berpendapatan tinggi, perbelanjaan purata pelancong dianggar mencecah RM8,879 seorang—hampir dua kali ganda berbanding pelancong biasa.

Pakar ekonomi Dr Geoffrey Williams menyifatkan suntikan ini sebagai pemangkin bernilai tambah tinggi yang menyokong pengukuhan nilai ringgit menerusi pengaliran masuk mata wang asing secara besar-besaran.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed, menegaskan peranan F1 bertindak sebagai 'pemacu sektor perkhidmatan' (services accelerator).

Kesan limpahan ini bukan sekadar bermain di angka statistik, sebaliknya dirasai terus ke akar umbi. Hotel, motel dan inap desa di sekitar Sepang—dari Kota Warisan, Dengkil, Salak Tinggi, Bandar Enstek hinggalah ke Nilai—mencatat kadar tempahan penuh.

Restoran mamak, medan selera dan kedai runcit tempatan menyaksikan kehadiran pelanggan antarabangsa yang memakai jersi pasukan lumba dari siang membawa ke larut malam.

Malah, fenomena unik berlaku apabila segelintir anak muda tempatan memanfaatkan kesesakan lalu lintas dengan menyediakan perkhidmatan 'teksi motosikal' ekspres. Berbekal topi keledar ekstra, mereka mengenakan caj antara RM50 hingga RM100 seorang bagi membawa penonton berulang-alik dari litar ke KLIA dan pusat beli-belah Mitsui Outlet Park.

Sama ada sektor formal mahupun tidak formal, aliran tunai nyata berputar pantas dalam komuniti setempat.

Keistimewaan penganjuran kali ini terletak pada kebijaksanaan struktur kewangan yang memihak kepada Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bahrain bersetuju menanggung yuran hak penganjuran yang dianggar bernilai AS$70 juta hingga AS$80 juta (sekitar RM285 juta hingga RM326 juta). Malaysia hanya perlu memperuntuk kos penyediaan tempatan dan pembaikan minor litar sekitar RM16 juta hingga RM40 juta.

Perbandingan kos ini berbeza jauh berbanding era 1999 hingga 2017 ketika Malaysia menjadi tuan rumah tetap apabila ratusan juta ringgit dana awam terpaksa disalur setiap tahun bagi menampung kenaikan yuran penganjuran. Lantas timbul persoalan: wajarkah Sepang kembali menjadi tuan rumah tetap F1?

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, menegaskan infrastruktur Sepang kekal bertaraf dunia dengan pulangan nilai publisiti global yang tiada tandingan. Bagaimanapun, pertimbangan untuk kembali ke kalendar tetap menuntut kajian kos-faedah yang mendalam.

Yuran penganjuran tahunan yang melambung tinggi perlu diimbangi keupayaan menarik perbelanjaan bersih pelancong secara mampan, bukannya kembali membebankan kantung dana awam.

Yang pasti, GP Bahrain edisi Sepang membuktikan apabila keghairahan sukan bermotor bertaraf dunia diganding dengan model perkongsian kewangan yang bijak, Selangor dan Malaysia bukan sahaja mampu menuai hasil ekonomi yang lumayan.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.