SHAH ALAM, 2 OKT: Kerajaan Negeri giat menyelaras persiapan Grand Prix F1 Gulf Air Bahrain Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) termasuk mempercepat permohonan dan kelulusan diperlukan bagi memastikan temasya sukan bertaraf global itu berjalan lancar.
"Ini termasuk mempercepatkan pelbagai proses permohonan dan mengeluarkan kelulusan secepat mungkin, bagi memastikan setiap peringkat persiapan berjalan dengan lancar,” kata EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim kepada Media Selangor.
Jelasnya, penyelarasan dilakukan menerusi kerjasama antara Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan pihak penganjur.
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Sepang, Victor Chong Voon Fei, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyiapkan kerja menaik taraf serta menurap semula jalan di sekitar litar bagi membantu melancarkan aliran trafik sepanjang perlumbaan.
"Semasa perlumbaan, MPSepang akan mengatur pegawai untuk membantu polis mengekalkan ketenteraman di lokasi, bagi memastikan perlumbaan berjalan lancar dan keselamatan penonton terjamin,” katanya.
Tambahnya lagi, beberapa lokasi dijangka mengalami peningkatan jumlah kenderaan, khususnya persimpangan Jalan Kota Warisan-Jalan Labohan Dagang dan bulatan di Jalan Pekeliling KLIA.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tempoh perlumbaan supaya bertolak lebih awal bagi mengelakkan risiko terlepas penerbangan akibat kesesakan.
"Jumlah kenderaan semasa perlumbaan sudah pasti sangat tinggi. Bulatan di Jalan Pekeliling KLIA arah jam 9 menuju ke litar perlumbaan, manakala arah jam 3 menuju ke KLIA. Bagi mengelakkan kesesakan, kami menyeru semua orang bertolak lebih awal, atau memilih perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit."
Semalam, Polis Selangor memaklumkan terdapat lima lokasi saringan ditetapkan bagi memeriksa semua kenderaan yang menuju ke SIC.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata kenderaan berkenaan akan melalui pemeriksaan tiket, pas kenderaan dan pelekat akses sebelum mendapat kebenaran untuk memasuki SIC.
Grand Prix F1 Gulf Air Bahrain Malaysia berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di Litar Antarabangsa Sepang.








