F1 GP Bahrain jana impak ekonomi hampir RM950 juta

14 Okt 2026, 12:00 AM
F1 GP Bahrain jana impak ekonomi hampir RM950 juta

SHAH ALAM, 14 OKT: Penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober lalu menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata penilaian kos-faedah sedang dilaksanakan bagi membandingkan manfaat ekonomi yang dijana dengan kos penganjuran, sebelum kerajaan menentukan hala tuju F1 di Malaysia pada masa hadapan.

Menurutnya, penilaian itu dijalankan SIC bersama firma perunding yang dilantik dengan mengambil kira perincian kos penganjuran serta kesan ekonomi kepada negara.

Katanya, hasil penilaian berkenaan akan dijadikan antara asas pertimbangan kerajaan sekiranya Malaysia berhasrat kembali menganjurkan perlumbaan F1 secara tetap.

Penganjuran perlumbaan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 261,000 peminat hadir sepanjang hujung minggu perlumbaan, termasuk 103,000 penonton pada hari perlumbaan.

“Berdasarkan maklumat daripada Formula 1 Management, penganjuran Formula 1 ini menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta penjelasan mengenai anggaran manfaat ekonomi penganjuran F1 di Sepang berbanding kos yang ditanggung kerajaan, selain sama ada penilaian kos-faedah akan dilaksanakan bagi menentukan asas pertimbangan sekiranya Malaysia kembali menganjurkan F1 secara tetap.

Dr Mohammed Taufiq berkata, kejohanan itu turut meningkatkan promosi dan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi siaran ke seluruh dunia yang mencatatkan jumlah penonton mencecah 827 juta orang.

Berdasarkan data terkini penjualan tiket, lebih 97,000 tiket dianggarkan terjual, manakala lebih 50,000 pelancong antarabangsa dan kira-kira 5,000 tenaga kerja asing hadir ke Malaysia sempena penganjuran itu.

Menurutnya, kehadiran pengunjung dari luar negara turut memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, penerbangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Selain itu, penganjuran berkenaan membantu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelaburan bertaraf dunia.

Beliau menjelaskan, model penganjuran kali ini berbeza apabila kos hak penganjuran ditanggung Bahrain, sekali gus membolehkan Malaysia menikmati manfaat ekonomi daripada kejohanan itu.

“Penilaian kos-faedah itu sedang dilaksanakan memandangkan penganjuran F1 baru sahaja selesai, sebelum hasilnya digunakan sebagai antara asas pertimbangan kerajaan untuk menentukan hala tuju penganjuran F1 di Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.