Mukhriz rayu beri ruang kepada Tun M, saran berehat di IJN

2 Okt 2026, 1:16 AM
Mukhriz rayu beri ruang kepada Tun M, saran berehat di IJN

SHAH ALAM, 2 OKT: Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu orang ramai supaya memberi ruang dan masa kepada bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melalui tempoh dukacita selepas pemergian isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pada masa sama, Mukhriz berpandangan bapanya lebih baik berehat di Institut Jantung Negara (IJN) buat sementara waktu sehingga keadaannya benar-benar pulih.

Katanya, berada di kediaman keluarga bukan sesuatu yang mudah buat Tun Dr Mahathir ketika ini kerana setiap sudut rumah mengingatkannya kepada Allahyarham yang menjadi teman hidupnya selama 70 tahun.

“Saya kira kalau duduk di rumah pun, setiap benda yang beliau pandang akan mengingatkan beliau kepada arwah bonda. Jadi mungkin lebih baik beliau berada di IJN dahulu sehingga betul-betul pulih.

“Hari ini pun beliau sudah pergi menziarahi pusara Allahyarham dan itu satu perkembangan yang baik,” katanya seperti dilaporkan Awani.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, semalam.

Menurut Mukhriz, pemergian Allahyarham masih memberi kesan mendalam kepada bapanya yang memerlukan masa untuk menerima kehilangan berkenaan.

“Tun Mahathir seperti mana yang kita boleh lihat, belum sampai seminggu menghadapi pemergian isteri kesayangan beliau yang telah bersama selama 70 tahun.

“Saya rasa apa yang berlaku sekarang sedikit sebanyak merupakan manifestasi kepada keadaan emosi dan kesihatan beliau,” katanya.

Mukhriz turut meminta semua pihak memahami keadaan yang sedang dilalui bapanya dan tidak memberi tekanan untuk mengetahui keadaan emosinya ketika ini.

“Saya merayu sangat-sangat, kalau boleh jangan tekan beliau sangat untuk mengetahui keadaan emosi dan sebagainya.

“Bayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi yang sama. Sudah tentu kita juga akan merasai kehilangan yang amat besar. Jadi berilah beliau sedikit ruang dan masa untuk pulih dengan sendiri,” katanya.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada 28 September lalu, selepas lebih 70 tahun bersama Tun Dr Mahathir.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.