SHAH ALAM, 6 JAN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi, disahkan mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, berkata Dr Mahathir dijangka memerlukan rawatan dan pemerhatian doktor di hospital bagi tempoh beberapa minggu lagi, lapor Berita Harian.
"Selepas menjalani penilaian perubatan, disahkan bahawa Tun (Dr Mahathir) mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan.
"Tun dijangka dimasukkan ke hospital untuk tempoh beberapa minggu bagi rawatan dan pemerhatian," katanya melalui saluran kumpulan media rasmi Dr M Media Updates di aplikasi WhatsApp.
Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan terjatuh di kediamannya kira-kira jam 7.30 pagi sebelum dibawa IJN, dua jam kemudian.
Sufi berkata, Dr Mahathir dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sebelum menjalani pemeriksaan lanjut.
Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu, pernah dirawat di IJN pada 13 Julai tahun lalu akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari sama.
Dalam pada itu, anak perempuannya Datin Paduka Marina, ketika ditemui BERNAMA, berkata walaupun perkara itu dianggap sebagai serius, ia tidak mengancam nyawa, sambil menegaskan bahawa bapanya berada dalam keadaan baik mengambil kira faktor usianya.
"Ia suatu yang serius, tetapi tidak berbahaya. Bagi usianya, segala-galanya adalah relatif… beliau baik-baik sahaja.
"Kami akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lengkap dengan butiran lanjut kemudian. Kami perlu memastikan semua istilah yang betul digunakan," katanya ketika ditemui di lobi IJN di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang kini dalam perjalanan ke Turkiye bagi lawatan rasmi, mendoakan kesembuhan buat Dr Mahathir.
"Saya dan Azizah mendoakan keafiatan dan kesembuhan segera buat Tun, Insya-Allah," katanya melalui hantaran ringkas di media sosialnya, hari ini.


