SHAH ALAM, 2 OKT: Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju melaksanakan kajian undang-undang bagi merangka dasar dan draf Rang Undang-Undang (RUU) Khairat untuk mengawal selia entiti amanah serta pendanaan awam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memastikan dana yang diamanahkan diurus secara telus dan bertanggungjawab.
Mesyuarat JKKTN yang dipengerusikannya di Putrajaya semalam turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan wang awam dan salah guna kuasa, khususnya membabitkan Badan Berkanun Persekutuan.
"Saya tegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang hendaklah disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat," katanya menerusi Facebook.
Mesyuarat itu turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam.
Pada masa sama, dasar bagi RUU Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.
"Mesyuarat juga bersetuju dengan tujuh resolusi yang dibentangkan semasa Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI akan terus memperteguh integriti perkhidmatan awam dan menutup ruang ketirisan serta salah guna kuasa.
"Setiap ringgit wang awam adalah amanah rakyat yang mesti dijaga.
"Setiap kuasa yang diberikan mesti digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.







