PETALING JAYA, 1 OKT: Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelaburan dalam sektor kesihatan bagi memperkukuh kapasiti penjagaan kesihatan sekali gus memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan Selangor bukan hanya mengejar kemajuan ekonomi, sebaliknya perlu memastikan keperluan rakyat terutama aspek kesihatan berkembang seiring peningkatan taraf kehidupan.
Menurutnya, Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun turut menyokong dan menekankan keperluan penjagaan kesihatan.
“Seiring dengan pertambahan penduduk dan perkembangan masyarakat, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mudah diakses dan berkualiti tinggi juga meningkat.
“Pada masa sama, keperluan kesihatan penduduk kita semakin kompleks dengan populasi berusia, peningkatan beban penyakit tidak berjangkit serta rawatan khusus memerlukan sistem penjagaan kesihatan yang kukuh.

“Jadi, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelaburan yang dapat memperkasa kapasiti penjagaan kesihatan bagi melengkapi perkhidmatan untuk masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) di sini hari ini.
Sementara itu, pada sidang media berasingan, Amirudin yakin kadar pertumbuhan ekonomi negeri mampu melebihi paras pertumbuhan ekonomi negara.
“Berdasarkan rekod dan perkembangan setakat ini, Selangor yakin berada di landasan tepat. Bagaimanapun pencapaian ini hanya dapat dilihat pada hujung tahun nanti.
“Sektor perkhidmatan masih lagi menjadi penyumbang tertinggi dengan 60 peratus kepada ekonomi negara,” katanya.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM460.1 bilion.
Jumlah itu mewakili 26.5 peratus daripada keseluruhan aktiviti ekonomi negara dan ia meningkat berbanding 2024 dengan menyumbang RM432.1 bilion kepada KDNK negara atau 26.2 peratus.











