Kali pertama naik pesawat, anak yatim cipta kenangan manis

1 Okt 2026, 7:07 AM
Kali pertama naik pesawat, anak yatim cipta kenangan manis
Kali pertama naik pesawat, anak yatim cipta kenangan manis
Kali pertama naik pesawat, anak yatim cipta kenangan manis
Kali pertama naik pesawat, anak yatim cipta kenangan manis
Kali pertama naik pesawat, anak yatim cipta kenangan manis

SUBANG, 1 OKT: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 149 anak yatim yang berpeluang menyertai program Pengalaman Penerbangan (Joyride Flight) Kembara Semenanjung di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, hari ini.

Penerbangan kira-kira sejam itu membawa mereka menikmati pemandangan dari ketinggian lebih 1,000 kaki melalui ruang udara Pulau Pinang menuju ke Langkawi sebelum kembali ke Subang.

Bagi Intan Sarafina Abdul Rashid, 13, dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, pengalaman menaiki pesawat itu cukup bermakna dan menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

“Saya rasa seronok sangat. Ini pertama kali saya dapat naik kapal terbang. Rasa macam gayat pun ada juga di atas langit.

“Pagi tadi semasa datang ke sini, saya rasa biasa. Tapi bila sudah mula naik kapal terbang, saya rasa seronok sangat dan teruja. Kalau ada kesempatan, saya mahu naik lagi, insya-Allah,” katanya kepada Media Selangor.

Hanafi Abdullah, 14, dari Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras pula bersyukur kerana berpeluang menaiki pesawat terbabit bersama rakan-rakannya, sekali gus mencipta kenangan manis bersama.

“Ini pertama kali saya naik kapal terbang. Rasa seronok sangat. Terima kasih kerana sudi belanja kami naik kapal terbang sama-sama. Ini rezeki tidak ternilai,” katanya.

Nor Muhammad Mohd Yusoff, 15, dari Asrama Damai Rumah Anak-Anak Yatim Kuang menyifatkan pengalaman menaiki kapal terbang hampir sama seperti menaiki feri penumpang.

“Rasa sama macam naik feri dan saya rasa tidak mabuk sangat. Terima kasih kerana berikan kami pengalaman naik kapal terbang. Saya rasa sangat teruja kerana ini pengalaman pertama saya,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat hadir pada jam 9 pagi bagi menyantuni dan meraikan anak-anak yatim terbabit sebelum mereka berlepas menaiki pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Batik Air.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk bermesra dengan anak-anak yatim dari 29 rumah kebajikan itu.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Tengku Amir Shah turut meluangkan masa menemani anak-anak yatim menaiki kapal terbang serta menitipkan pesanan khas kepada semua penumpang sebelum pesawat berkenaan berlepas.

Sepanjang penerbangan, anak-anak yatim terbabit turut dihiburkan dengan persembahan ringkas oleh pempengaruh media sosial kanak-kanak, Aqil Zulkiflee serta penyanyi Aizat Amdan, selain mendengar perkongsian istimewa daripada juruterbang dan pramugari.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.