Sempena Maulidur Rasul, PERKIM Wanita Hulu Kelang rai anak yatim, asnaf, OKU

14 Sep 2026, 12:00 PM
Sempena Maulidur Rasul, PERKIM Wanita Hulu Kelang rai anak yatim, asnaf, OKU
Sempena Maulidur Rasul, PERKIM Wanita Hulu Kelang rai anak yatim, asnaf, OKU

SHAH ALAM, 14 SEPT: Seramai 600 anak yatim, asnaf, orang kurang upaya (OKU), mualaf dan pelajar tahfiz diraikan menerusi Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Wanita Hulu Kelang.

Penyelaras DUN Hulu Kelang merangkap Penasihat PERKIM Wanita Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli berkata program itu antara inisiatif tahunan berimpak tinggi yang dianjurkan bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik.

Jelas beliau, sambutan tahun ini diserikan dengan kehadiran isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad.

“Sebagai penasihat PERKIM Wanita Hulu Kelang, saya berbesar hati dengan kehadiran Datin Seri Masdiana yang turut memberikan sokongan terhadap penganjuran majlis ini.

“Seramai 600 anak yatim, asnaf, OKU, mualaf dan pelajar tahfiz dari sekitar Lembah Klang termasuk Hulu Kelang, Ampang, Rawang, Hulu Selangor dan Kuala Lumpur diraikan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Tambahnya, kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli PERKIM dan penyumbang yang membeli meja turut hadir memeriahkan sambutan itu.

Juwairiya berkata, penganjuran sambutan tersebut bukan sekadar memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah menjadi wadah untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan.

“Selain berselawat beramai-ramai, kita turut mengadakan tazkirah bagi memperingati perjuangan dan teladan Rasulullah SAW, selain persembahan kumpulan Raihan untuk menghiburkan anak-anak yatim yang hadir.

“Anak-anak ini turut diraikan menerusi jamuan makan sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan yang dilaksanakan PERKIM Wanita Hulu Kelang,” katanya.

Menurutnya, program itu turut mencerminkan peranan PERKIM yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek dakwah, malah aktif melaksanakan kegiatan kebajikan dan pendidikan serta membantu proses pengislaman saudara baharu.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.